Ipoh bandar paling murah bagi pendidikan antarabangsa di Asia | DagangNews Skip to main content

Ipoh bandar paling murah bagi pendidikan antarabangsa di Asia

Ipoh banyak menerima pengiktirafan dunia dari aspek pelancongan.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 31 Jan - Ipoh mencatat satu lagi status apabila diberi gelaran sebagai `bandar paling murah di Asia dan dunia bagi persekolahan antarabangsa pada 2022' oleh Pangkalan Data Sekolah Antarabangsa (ISD), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

Buat pertama kalinya Ipoh tersenarai dalam pengkalan data tersebut bersama 19 bandar lain pada kedudukan ke-20.

 

Mendahului senarai ialah ​Beijing, Shanghai, Shenzhen dan Guangzhou di China diikuti ​Taipei (Taiwan), Yangon (Myanmar) dan Bangkok (Thailand).

 

Bandar lain ialah Kyoto, Osaka dan Kobe di Jepun, seterusnya ​Pattaya, Chiang Mai dan Phuket (Thailand), Manila (Filipina), Johor Bahru, Bali, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Phnom Penh (Kemboja).

 

Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, Ipoh ialah bandar baharu yang termasuk dalam penyelidikan tersebut dan telah diberi gelaran lokasi paling murah di Asia.

 

"Manakala kos sekolah antarabangsa dari ibu negara Kemboja, Phnom Penh pula menduduki tempat kedua terendah kali ini.

 

"Harga di Ipoh dicatatkan antara AS$2,316 hingga AS$3,065 setahun, yang sangat berbeza dengan bandar paling mahal di Asia iaitu Beijing.

 

"Harga di metropolis China ini berjulat dari atas AS$10,000 hingga hampir AS$40,000 setahun," katanya.


 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin
                       Datuk Rumaizi Baharin

 


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

 

Katanya lagi, Malaysia dan Thailand adalah negara paling berpatutan di Asia apabila melibatkan kos pendidikan antarabangsa.

 

"Tiga bandar Thailand (Pattaya, Chiang Mai dan Phuket) dan empat bandar Malaysia (Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh) termasuk dalam 10 lokasi paling murah di benua Asia.

 

"Pada peringkat global, New York City kekal sebagai metropolis paling mahal di dunia untuk persekolahan antarabangsa.
 

"Malah, ia menjadi lebih mahal sejak 2021, dengan harga maksimum mendahului AS$60,000 setahun buat kali pertama," katanya.

 

Sebelum ini, Ipoh telah dipilih sebagai ‘Antara 18 lokasi underrated oleh CNN Travel List’ iaitu antara lokasi percutian hebat tetapi kurang mendapat pengiktirafan sewajarnya. - DagangNews.com