KUALA LUMPUR 16 Ogos - Inta Bina Group Bhd dijangka jana pendapatan sebanyak RM10.3 juta sepanjang tempoh pembinaan dua blok pangsapuri M Sinar di Southville City, Bangi.
Menurut TA Securities, kontrak projek berkenaan yang bernilai RM206 juta merupakan kerja permbinaan kedua yang diperoleh kumpulan itu pada tahun ini, menjadikan jumlah kemenangan kontrak tahun sehingga kini kepada kira-kira RM285.9 juta.
Projek itu melibatkan kerja Fasa 1 dan Fasa 2 projek M Sinar, di mana masing-masing diberi tempoh 38 dan 33 bulan untuk disiapkan.
BACA JUGA: Inta Bina raih kontrak RM206 juta bagi pembinaan pangsapuri M Sinar di Southville City
“Dengan mengandaikan margin kasar 10%, projek itu dianggarkan menjana RM10.3 juta pendapatan bersih sepanjang tempoh pembinaan.
“Southville City Sdn Bhd ialah pelanggan tetap Inta Bina. Berikutan kejayaan pekerjaan itu, jumlah buku pesanan terkumpul kini berjumlah kira-kira RM1.1 bilion, bersamaan dengan 2.4 kali hasil tahun kewangan 2022 (FY22),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan Inta Bina bagi FY23 hingga FY25 kerana kemenangan pekerjaan adalah dalam andaian penambahan buku pesanan FY23 firma sebanyak RM600 juta.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 28 sen sesaham.
Pada waktu penulisan, saham Inta Bina menokok 0.5 sen atau 2% kepada 25 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM133.9 juta. - DagangNews.com








