Institut Koperasi Malaysia anjur seminar perkasa tadbir urus anggota koperasi | DagangNews Skip to main content

Institut Koperasi Malaysia anjur seminar perkasa tadbir urus anggota koperasi

Seminar tersebut bertujuan bagi mengukuhkan peranan, tatacara pengoperasian dan nilai integriti dalam kalangan pengurusan dan pentadbiran koperasi. - Gambar Facebook Institut Koperasi Malaysia
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Institut Koperasi Malaysia (IKMa) menganjurkan Seminar Tadbir Urus Koperasi: Pengukuhan Integriti Ke Arah Kelestarian Koperasi, bagi memperkasakan tadbir urus koperasi dalam kalangan Anggota Lembaga Koperasi (ALK), pengurusan dan anggota koperasi untuk mengawal dan mengurus risiko.

 

IKMa berkata, ia juga bertujuan bagi mengukuhkan peranan, tatacara pengoperasian dan nilai integriti dalam kalangan pengurusan dan pentadbiran koperasi agar bergerak seiring dengan matlamat dan hala tuju gerakan koperasi. 

 

Katanya, penganjuran seminar tersebut bertepatan dan selaras dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) iaitu Pemantapan Sistem Perundangan dan Struktur Tadbir Urus bagi menepati dan seiring dengan keperluan perkembangan semasa untuk memastikan kelancaran dan pembentukan institusi koperasi yang unggul.

 

"Sektor koperasi juga tidak terkecuali dari aspek penekanan integriti dan pencegahan rasuah yang mana entiti koperasi itu sendiri ditafsirkan sebagai sebuah ‘badan awam’ di dalam Akta SPRM 2009. 

 

"Justeru, gerakan koperasi perlu mengambil inisiatif bersepadu untuk memperkukuhkan integriti dalam operasi kewangan dan keseluruhan pengurusan demi melahirkan sebuah koperasi yang sihat, bebas rasuah dan berintegriti tinggi untuk menghadapi cabaran industri kewangan koperasi di alaf baharu selaras dengan visi masing-masing," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pada majlis yang sama, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki merasmikan penutupan majlis tersebut di Putrajaya.

 

Menurut kenyataan itu, dengan jumlah keahlian melebihi 7 juta ahli dan bilangan koperasi berdaftar sebanyak 15,556 sehingga Jun 2023, koperasi perlu memanfaatkan kekuatan yang ada bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian koperasi. 

 

 

ikma
IKMa turut melancarkan Buku Kod Etika Perniagaan IKMa, sebagai asas kepada komitmen warga kerja terhadap integriti.

 

 

Katanya, tunjang di sebalik kekuatan itu juga adalah berkisar tentang aspek keutuhan integriti dalam amalan tadbir urus koperasi yang perlu di perkasa dan dipelihara.


 
Bagi memperkukuh gerakan koperasi katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi di bawahnya terus komited mewujudkan pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik bagi memperkukuh dan meningkatkan lagi program-program pembangunan untuk koperasi di negara ini. 

 

 

ikma
IKMa memeterai MoU bersama Rams Edutech yang merupakan pemilik EnGo iaitu sebuah platform pembelajaran elektronik konsep konvensional pembelajaran digital.

 

"Ia sejajar dengan sasaran Dasar Koperasi Negara (DaKom) 2030 yang dilancarkan pada 12 Oktober 2023 yang mana kerajaan mensasarkan sektor koperasi untuk mencapai perolehan sebanyak RM60 bilion pada 2025.

 

"Selain itu, ia mencapai RM73 bilion pada 2030 dengan bilangan koperasi aktif sebanyak 62% pada 2025 dan 65% pada 2030. Kerajaan juga menyasarkan indeks kesejahteraan anggota (IndeKA) mencapai skor 75 pada 2025 dan 80 pada 2030," katanya.

 

 

ikma
Tan Sri Azam Baki ketika berucap pada majlis penutup Seminar Tadbir Urus Koperasi: Pengukuhan Integriti Ke Arah Kelestarian Koperasi.

 

 

Sementara itu, IKMa turut melakar sejarah dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Rama Edutech Sdn Bhd (RAMS) iaitu sebuah anak syarikat kepada Ramssol Group Bhd yang merupakan pemilik EnGo iaitu sebuah platform pembelajaran elektronik yang melangkaui konsep konvensional platform pembelajaran digital.  - DagangNews.com