Inisiatif TNB di UK percepatkan peralihan tenaga bertanggungjawab Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inisiatif TNB di UK percepatkan peralihan tenaga bertanggungjawab Malaysia

Nik Nazmi Nik Ahmad (empat kiri) merasmikan pejabat baharu Vantage RE di London baru-baru ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Penerokaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perniagaan tenaga boleh baharu (RE) menerusi anak syarikatnya di United Kingdom (UK), Vantage RE Ltd dapat mempercepatkan Peralihan Tenaga (ET) bertanggungjawab negara, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad.

 

Beliau berkata ia penting bagi negara untuk berjaya mengemudi ET tersebut, sambil mengimbangi isu seperti keterjaminan tenaga, ekuiti tenaga dan kelestarian alam sekitar.

 

“Dengan itu, Malaysia kekal berdaya tahan dari segi ekonomi dan pada masa yang sama, memanfaatkan peluang untuk pertumbuhan mampan. Peralihan itu juga akan memberi manfaat kepada negara melalui pemindahan teknologi dan peningkatan kecekapan modal insan,” katanya.

 

Bagi perniagaan TNB di UK, beliau berkata pengetahuan dan kepakaran yang akan dimanfaatkan adalah tidak ternilai untuk TNB dan Malaysia.

 

Nik Nazmi berkata demikian ketika lawatan rasminya ke Vantage RE, di mana beliau turut merasmikan ibu pejabat baharu Vantage RE di 20 Eastbourne Terrace dan melawat ladang angin luar pesisir syarikat itu di pantai Blyth, Pantai Timur Laut England.

 

“Saya berharap Vantage RE akan terus berkembang dan mencapai kemajuan lebih besar pada masa akan datang menerusi idea dan kepakaran mereka ketika negara memacu matlamat Peralihan Tenaga yang dicita-citakan,” ujar beliau.

 

 

tnb
Nik Nazmi Nik Ahmad (empat kanan) dan ahli delegasi lain baru-baru ini melawat ladang angin luar pesisir Vantage RE, yang terletak di luar pantai Blyth di pantai Timur Laut England.

 

 

Tambahnya, kerajaan kini sedang meneroka pasaran import dan eksport tenaga dan berhasrat agar Malaysia memainkan peranan penting dalam Grid Tenaga ASEAN.

 

Beliau menzahirkan keyakinan beliau bahawa pengalaman di UK menjadi panduan penting untuk negara dalam usaha meneruskan visi tersebut.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din menambah bahawa Vantage RE ialah komponen penting dalam perjalanan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab TNB, dan pengalaman besar yang diperolehi di UK, telah meletakkan TNB dalam kedudukan yang unik untuk memanfaatkan lebih banyak peluang.

 

“Sejajar dengan aspirasi kami sebagai pembekal utama tenaga lestari di Malaysia dan antarabangsa, kami akan terus membuat pelaburan besar dalam bidang ini. Usaha seberang laut ini akan mempercepatkan pertumbuhan RE dan membina keupayaan TNB di pasaran asing.

 

“Ini membolehkan kami lebih memahami bagaimana Malaysia boleh mewujudkan rangka kerja yang betul, iaitu memberi insentif kepada penggunaan teknologi utama seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), hidrogen serta Perangkap Karbon, Penggunaan dan Penyimpanan (CCUS) yang akan menyokong Peralihan Tenaga,” katanya.

 

Baharin berkata TNB komited terhadap agenda Peralihan Tenaga tersebut bagi mengurangkan 35% daripada intensiti pelepasan karbon serta 50% daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

 

Saham TNB ditutup pada RM9.03 hari ini, susut 2 sen atau 0.2% yang memberikannya permodalan pasaran bernilai RM52.3 bilion. - DagangNews.com