Inisiatif, program diteruskan agar barangan kekal pada harga berpatutan - Rafizi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inisiatif, program diteruskan agar barangan kekal pada harga berpatutan - Rafizi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Mac - Inisiatif seperti Menu Rahmah dan Pendapatan Rakyat yang menyediakan makanan siap pada harga RM2 mendorong persaingan yang segar di pasaran.

 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia menyumbang kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi komponen makanan di luar rumah mereda kepada 9.3% pada Januari tahun ini berbanding 9.6% pada Disember 2022 yang merupakan penurunan kali pertama sejak Ogos 2021.

 

“Tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawaban harga berpatutan akan berterusan dengan pembangunan ekosistem berasaskan data harga dari seluruh negara untuk menyuntik keanjalan harga dan bekalan,” tambahnya.

 

Mengulas berkenaan kenaikan harga barang sewaktu musim Tahun Baharu Cina, Rafizi berkata pertumbuhan bulan ke bulan pada tahun 2023 sebanyak 0.2% adalah rendah berbanding tahun 2021 (0.3%) dan 2022 (0.24%). 

 

“Hal ini amat menggalakkan kerana membuktikan bahawa Malaysia telah berjaya meredakan kadar kenaikan harga di samping kekangan rantaian bekalan global dan lonjakan permintaan bermusim,” katanya.

 

Rafizi berkata, kerajaan meneruskan Program Penyeragaman Harga (PPH) bagi tujuh barangan asas iaitu beras putih, gula, minyak masak sekilogram, tepung gandum, Gas Petroleum Cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel agar bekalan sampai kepada penduduk di kawasan luar bandar atau pendalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak. 

 

Pada Januari 2023, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengumumkan kadar inflasi Malaysia menyederhana kepada 3.7% pada bulan Januari 2023 berbanding 3.8% pada Disember 2022.

 

Kenaikan inflasi tersebut didorong oleh peningkatan kumpulan makanan & minuman bukan alkohol, namun telah menyederhana kepada 6.7% daripada 6.8% pada bulan sebelumnya.

 

Sementara itu, dua lagi kumpulan dalam kelompok tiga wajaran tertinggi turut menyederhana atau mencatatkan kadar yang sama iaitu kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain kekal pada 1.5% dan kumpulan pengangkutan mereda kepada 4% berbanding 4.9% pada bulan sebelumnya. -DagangNews.com