Inisiatif i-Miliki tidak beri impak ketara kepada pembeli dalam persekitaran kadar faedah tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inisiatif i-Miliki tidak beri impak ketara kepada pembeli dalam persekitaran kadar faedah tinggi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Julai - Maybank Investment Bank (IB) 'neutral' terhadap insentif kerajaan memberi pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama di bawah inisiatif pemilikan perumahan Keluarga Malaysia atau i-Miliki di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang tinggi.

 

Dalam nota kajian, penganalisisnya, Wong Wei Sum menjangkakan inisitif berkenaan tidak memberi impak yang ketara jika dibandingkan dengan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sebelum ini disebabkan kadar faedah yang lebih tinggi pada 2.25% berbanding 1.75% bagi tempoh 2019 hingga 2021. 

 

Katanya, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) itu sebanyak 50 mata asas setakat ini akan mengubah corak pembelian rumah sekali gus menjejaskan kemampuan pembeli.

 

"Ini kerana setiap kenaikan 25 mata asas, kami menjangkakan bayaran bulanan akan meningkat sebanyak 3%.

 

"Selain itu, ketidaktentuan politik menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) juga boleh menjejaskan sentimen pembelian yang memerlukan komitmen tinggi. 

 

"Buat masa ini, kami tidak pasti sama ada insentif terkini itu akan mengatasi apa yang telah diumumkan dalam pakej rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada Jun 2020," katanya.

 

Baca : Perdana Menteri umum pengecualian duti setem bagi perjanjian pinjaman rumah pertama menerusi i-Miliki

 

Kerajaan sebelum ini telah melanjutkan pengecualian duti setem bagi surat cara pemindahan dan perjanjian pinjaman untuk pembeli rumah kali pertama untuk hartanah kediaman sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2025. 

 

Di bawah inisiatif i-Miliki, ia melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama secara peringkat atau tier harga rumah membabitkan perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh mulai 1 Jun 2022 sehingga Disember 2023

 

Bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem sebanyak 100% manakala 
bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian sebanyak 50%.

 

Wei Sum berkata, pemaju telah pun mereka bentuk pakej pemasaran mereka (termasuk menyerap duti setem untuk pembeli) berdasarkan kebolehpasaran projek dan difahamkan bahawa pakej ini adalah setanding atau mungkin lebih menarik daripada pakej di bawah HOC.

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat, penjimatan daripada inisiatif terkini (untuk hartanah berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta) boleh digunakan untuk menampung kos buruh atau bahan mentah yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com