Infomina catat pendapatan RM109.7 juta, keuntungan RM26.8 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Infomina catat pendapatan RM109.7 juta, keuntungan RM26.8 juta pada 3QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 April - Infomina Berhad telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM109.7 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM26.8 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mei 2023 (3QFY23).

 

Tiada perbandingan suku ke suku (QoQ) dan tahun ke tahun (YoY) kerana kumpulan ini disenaraikan di Bursa Malaysia pada 25 November 2022.

 

Menurut satu kenyataan kumpulan hari ini, pendapatan bagi suku tersebut disumbangkan terutamanya oleh segmen operasi infrastruktur teknologi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan yang merangkumi RM87.28 juta atau 80% daripada jumlah pendapatan.

 

Segmen ini terutamanya terdiri daripada pendapatan daripada kontrak penyediaan penyelesaian infrastruktur teknologi untuk institusi perkhidmatan kewangan dan agensi kerajaan dalam pasaran utama kumpulan di Malaysia, Thailand dan Filipina serta rantau ini.

 

Di samping itu, prestasi segmen ini yang amat memberangsangkan sebahagian besarnya didorong oleh pelbagai faktor iaitu semakan ke atas kadar untuk pelanggan sedia ada; yuran lebihan dikenakan kepada pelanggan disebabkan penggunaan lebih tinggi daripada jangkaan; dan kontrak baharu berkuat kuasa pada suku ini.

 

“Di bawah kontrak, Infomina berhak mengenakan yuran lebihan sekiranya volum yang diproses oleh pelanggan kami ternyata lebih tinggi daripada jangkaan.

 

Ini membolehkan pelanggan dapat meningkatkan penggunaan sekiranya keperluan itu lebih tinggi daripada jangkaan tanpa sebarang kelewatan,” jelasnya.

 

Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Mei 2023 (9MFY23), kumpulan itu telah mencatatkan hasil sebanyak RM193.7 juta dan PBT sebanyak RM39 juta, didorong segmen operasi infrastruktur teknologi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan yang menyumbang RM144.5 juta atau 74.6% daripada pendapatan.

 

Pada 28 Februari 2023, kunci kira-kira kumpulan kekal teguh, memaparkan kedudukan tunai bersih RM74.4 juta manakala nisbah semasa berada pada 1.5 kali, manakala jumlah hutang minimum RM2.4 juta berbanding dana pemegang saham sebanyak RM104.7 juta.

 

Pengarah Urusan Infomina, Yee Chee Meng berkata, keputusan kewangan itu adalah satu rekod bagi kumpulan dan pertumbuhan ketara itu didorong oleh prestasi yang semakin kukuh daripada segmen operasi infrastruktur teknologi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan daripada kontrak di Filipina dan Thailand.

 

Prestasi kukuh ini sebahagian besarnya disebabkan oleh beberapa faktor seperti volum yang lebih tinggi daripada jangkaan daripada pelanggan, membawa kepada bayaran lebihan, peningkatan kadar untuk pelanggan sedia ada dan kontrak baharu diperoleh pada suku semasa."

 

“Melangkah ke hadapan, prestasi kami akan didorong oleh buku pesanan cemerlang berjumlah kira-kira RM500.2 juta yang terdiri daripada kepelbagaian portfolio dengan lebih 60 pelanggan aktif merentasi pelbagai industri dan lokasi geografi termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia , Hong Kong, China dan Taiwan,” katanya. -DagangNews.com