Inflasi makanan di luar rumah diramal terus naik akibat kos operasi, utiliti - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Inflasi makanan di luar rumah diramal terus naik akibat kos operasi, utiliti - MIDF Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 April - Inflasi segmen makanan di luar rumah yang naik 3.5% pada Mac 2024 dijangka terus kekal meningkat pada bulan-bulan berikutnya.

 

Menurut MIDF Research, ini susulan kenaikan kos logistik dan operasi seperti caj tarif utiliti dan peningkatan cukai.

 

"Walaupun inflasi makanan terus menjadi sederhana, harga makanan di luar rumah kekal pada paras tertinggi 3 bulan pada +3.5%yoy.

 

"Segmen makanan ini dijangka menyaksikan peningkatan berterusan di tengah-tengah kenaikan logistik dan caj operasi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini susulan pelaporan Indeks Harga Pengguna Mac 2024.

 

Pertumbuhan inflasi harga Makanan di Rumah menyusut ke paras terendah lebih daripada 4 tahun pada +0.3%yoy berikutan penurunan harga bagi sebahagian makanan di peringkat global, kata MIDF Research.

 

"Namun begitu, Malaysia amat terdedah kepada faktor luaran dan pergerakan mata wang sebagai negara pengimport bersih makanan," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia Mac 2024 kekal 1.8%, perbelanjaan bekalan air naik 31.4% - DOSM

 

dosm

 

Sementara itu, inflasi bukan makanan pula dijangka kekal dalam aliran menaik berikutan kenaikan 2.0% kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk item terpilih. 

 

"Melihat kepada 2QCY24, kami sepatutnya menjangkakan kenaikan harga keseluruhan secara beransur-ansur berikutan kenaikan caj utiliti, pelaksanaan kadar SST yang lebih tinggi kepada 8.0% pada item terpilih dan 10% untuk cukai barang bernilai rendah (LVGT)," ujarnya.

 

Kata firma itu, pelancaran subsidi bersasar bahan api dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini yang mungkin menjadikan harga bahan api runcit yang lebih tinggi bagi RON95 dan Diesel.

 

"Melangkah ke 2024, kami menjangkakan kadar inflasi keseluruhan menjadi purata pada +3.2% dengan andaian bahawa subsidi bahan api yang disasarkan mungkin akan dilancarkan seawal Jun 2024," katanya.

 

Berdasarkan harga minyak Brent pada Mac 2024, MIDF Research mengunjurkan harga sebenar R0N95 tanpa subsidi ialah RM3.17 seliter.

 

Justeru, kata firma tersebut, sehingga 1H2024, inflasi pengangkutan dijangka masih kekal rendah. - DagangNews.com