Inflasi Malaysia Mac 2024 kekal 1.8%, perbelanjaan bekalan air naik 31.4% - DOSM | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia Mac 2024 kekal 1.8%, perbelanjaan bekalan air naik 31.4% - DOSM

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 April 2024 - Inflasi Malaysia kekal 1.8 peratus pada Mac 2024 dengan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain naik 3.0% berbanding 2.7 peratus pada Februari 2024. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan kategori itu disumbangkan oleh kelas perbelanjaan Bekalan air yang naik kepada 31.4 peratus pada Mac 2024 berbanding 28.8% pada Februari 2024.

 

"Kedah telah menaikkan kadar tarif perkhidmatan bekalan air bagi kategori pengguna domestik bermula Mac 2024 berbanding negeri lain yang telah melaksanakan kadar tarif baharu pada Februari 2024," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

air
Tarif air bagi pengguna domestik mula dinaikkan pada Februari 2024 dengan Kedah pada Mac. - Gambar hiasan

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi Makanan & Minuman pada Mac 2024 dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor, 3.2%.

 

 

Ini diikuti Pulau Pinang (2.8%), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6%), Sarawak (2.1%), Perlis (2.1%) dan Labuan (2.0%). 

 

ihp m

 

"Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi Makanan & Minuman nasional iaitu 1.7 peratus pada Mac 2024," katanya.

 

Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8 peratus. 

 

Walau bagaimanapun, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.0%), Sarawak (2.9%), Pahang (2.1%), Selangor (2.1%) dan Perlis (1.9%).

 

Sementara itu, IHP Mac 2024 turut mencatatkan kenaikan dalam Kumpulan Restoran & Perkhidmatan Penginapan (3.0%) dan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.6%).

 

"Namun begitu, peningkatan ini telah diimbangi dengan kumpulan utama yang merekodkan peningkatan lebih perlahan iaitu Kesihatan (2.1%); Makanan & Minuman (1.7%) dan Rekreasi, Sukan & Kebudayaan (1.5%)," kata DOSM.

 

ihpm

 

Kumpulan Makanan & Minuman menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP dengan Februari 2024 mencatatkan kenaikan 1.9%.
 

"Sementara itu, subkumpulan utama Makanan di luar rumah meningkat kepada 3.5 peratus, kadar yang sama direkodkan pada Februari 2024.

 

"Subkumpulan utama Makanan di rumah meningkat 0.3 peratus pada bulan Mac 2024 (Februari 2024: 0.5%)," ujarnya. 

 

ihpm 2

 

Menurut DOSM, inflasi kelas perbelanjaan Bijirin & produk bijirin pula meningkat kepada 2.0 peratus pada Mac 2024 (Februari 2024: 2.5%). 

 

Katanya, ini disumbangkan oleh beras basmati yang meningkat perlahan 0.4 peratus berbanding 1.0 peratus pada Februari 2024.

 

"Tepung beras pula meningkat kepada 9.6 peratus (Februari 2024: 8.8%). Inflasi kelas perbelanjaan Susu, produk tenusu lain & telur mencatatkan peningkatan perlahan 1.4 peratus pada bulan Mac 2024 (Februari 2024: 2.3%). 

 

"Kenaikan yang lebih rendah telah dicatatkan oleh item perbelanjaan Susu segar 2.4 peratus (Februari 2024: 2.5%)," katanya.

 

ihpm3

 

Inflasi bagi kelas perbelanjaan Daging meningkat perlahan kepada 0.2 peratus pada bulan Mac 2024 (Februari 2024: 0.5%). 

 

Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6 peratus dalam kelas perbelanjaan Daging mencatatkan penurunan kepada negatif 1.1 peratus (Februari 2024: -0.7%), kata DOSM.

 

"Purata harga Ayam standard di peringkat Malaysia pada Mac 2024 adalah RM10.28 sekilogram berbanding RM10.40 sekilogram pada bulan Mac 2023 (Februari 2024: RM10.29)," kata DOSM.

 

Jelas jabatan itu, kenaikan bagi inflasi Restoran & Perkhidmatan Penginapan kepada 3.0 peratus (Februari 2024: 2.9%) disebabkan oleh peningkatan Perkhidmatan penyediaan minuman 3.7 peratus (Februari 2024: 3.4%). 

 

Dalam masa yang sama, inflasi Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan mencatatkan peningkatan 2.6 peratus (Februari 2024: 2.5%) didorong oleh peningkatan subkumpulan Barangan peribadi lain, 9.8 peratus (Februari 2024: 8.6%).

 

Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.8%) adalah lebih rendah berbanding Vietnam (4.0%), Filipina (3.7%), Amerika Syarikat (3.5%), Republik Korea (3.1%) dan Indonesia (3.1%).

 

"Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (0.1%) dan Thailand (-0.5%)," kata DOSM.- DagangNews.com