Inflasi diunjur meningkat pada suku kedua kesan pelarasan cukai perkhidmatan, rasionalisasi subsidi bahan api - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Inflasi diunjur meningkat pada suku kedua kesan pelarasan cukai perkhidmatan, rasionalisasi subsidi bahan api - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Momentum inflasi diunjur meningkat pada suku kedua tahun ini kesan daripada pelarasan cukai perkhidmatan serta rasionalisasi subsidi bahan api.

 

RHB Investment berkata, ketika ini, masih belum ditetapkan tarikh berkuat kuasa untuk rasionalisasi subsidi bahan api atau harga runcit bahan api baharu.

 

Bagaimanapun, garis masa kasar untuk rasionalisasi subsidi bahan api ialah harga diesel diselaraskan menjelang Jun 2024, diikuti dengan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 pada separuh kedua tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berlaku peningkatan inflasi dalam dua bulan kebelakangan ini disebabkan pelarasan dalam tarif air domestik Semenanjung Malaysia dan Labuan.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia Mac 2024 kekal 1.8%, perbelanjaan bekalan air naik 31.4% - DOSM

 

"Tarif air yang lebih tinggi telah menyumbang kepada peningkatan 0.2% dalam inflasi keseluruhan. 

 

"Berdasarkan anggaran dalaman kami, peningkatan kepada Indeks Harga Pengguna (CPI) berjulat antara 0.02% dan 0.05% untuk setiap kenaikan 5% dalam tarif air.

 

"Baimanapun, kami mengekalkan unjuran inflasi utama tahun ini pada paras 3.3%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kesan peningkatan kos pengangkutan dijangka memberi kesan besar kepada inflasi utama kerana ia menyumbang 11% kepada CPI dengan sub-komponen bahan api sahaja membentuk 6%.

 

Katanya, peningkatan momentum inflasi teras makanan didorong oleh harga beras wangi import yang lebih tinggi, yang masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 9.9% (Februari 2024: 9.6%) dan 6.3% (Februari 2024: 6.3%).

 

Bagi menangani kesan kenaikan harga import, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersetuju menurunkan harga runcit beras putih import daripada RM2 kepada RM3 pada 20 Mac 2024. 

 

Sementara itu, kadar dasar semalaman (OPR) dijangka kekal pada paras 3% pada 2024.

 

"Kami melihat kekurangan dorongan untuk Bank Negara Malaysia (BNM) mengubahsuai kadar dasarnya tahun ini, memandangkan prospek ekonomi domestik yang lebih cerah di tengah-tengah ketidaktentuan dalam trajektori inflasi," katanya. - DagangNews.com