Industri penerbangan Malaysia dijangka rugi RM13b | DagangNews Skip to main content

Industri penerbangan Malaysia dijangka rugi RM13b

kapal terbang

KUALA LUMPUR 21 Julai - Industri penerbangan Malaysia dijangka mengalami kerugian sehingga RM13 bilion pada tahun ini berikutan penutupan sempadan negara akibat COVID-19.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini. 

wee ka siong
Wee Ka Siong

 

RM10.9 bilion daripada jumlah itu melibatkan syarikat penerbangan di Malaysia iaitu Malaysia Airlines Berhad, Kumpulan AirAsia Berhad dan Malindo Airways Sdn Bhd.

“Pengendali lapangan terbang pula dijangka rugi sehingga RM2.1 bilion bagi tahun ini,” kata Ka Siong seperti dipetik The Edge Markets. 

Malaysia Airports Holdings Berhad  (MAH) mengendalikan sebanyak 39 lapangan terbang di negara ini manakala,  Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor.    

Terdahulu, Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mendedahkan kepada parlimen bahawa tiga syarikat penerbangan tempatan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air terpaksa membatalkan sebanyak 169,728 penerbangan yang melibatkan 4.316 juta penumpang akibat sekatan perjalanan udara. 

Sebanyak 1.211 juta penumpang yang terdiri daripada 1.172 juta penumpang Malaysia Airlines dan 38,558 penumpang AirAsia, telah menangguhkan penerbangan mereka.

1.967 juta penumpang pula memilih kredit penerbangan berbanding bayaran balik tunai iaitu untuk membeli semula tiket penerbangan selepas tempoh dua tahun akan datang.

37,188 daripada jumlah terbabit adalah penumpang Malaysia Airlines, AirAsia (1.875 juta) dan selebihnya merupakan penumpang Malindo Air (54,773).

Dalam pada itu, 628,000 penumpang telah diberikan bayaran balik tunai bernilai RM399 juta.

Ini termasuklah 190,000 penumpang Malaysia Airlines (RM294 juta), manakala 437,000 penumpang AirAsia menerima bayaran balik tunai yang bernilai RM105 juta. - DagangNews.com