KUALA LUMPUR 3 Jun – Brooke Holdings Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Brooke Dockyard and Engineering Works Corp meraih kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai kira-kira RM1 bilion bagi projek minyak dan gas luar pesisir Sirung dan Chenda di Sarawak.
Kontrak tersebut dianugerahkan oleh PTTEP Sarawak Oil Ltd, anak syarikat kepada PTTEP Thailand, iaitu syarikat minyak dan gas huluan nasional negara berkenaan yang turut bertindak sebagai operator projek.
Projek ini melibatkan pembangunan medan minyak dan gas SK405B yang terletak kira-kira 140 kilometer dari Kompleks LNG PETRONAS di Bintulu, Sarawak.
PTTEP memegang 49.5% kepentingan dalam projek berkenaan, manakala PETRONAS Carigali Sdn Bhd memiliki 25% dan Mitsui Energy Development Co Ltd sebanyak 25.5%.
Ia adalah projek pembangunan baharu pertama PTTEP di Malaysia yang menjadi projek strategik dalam pelan pertumbuhan jangka panjang syarikat tersebut.
Projek ini bermula selepas penemuan Sirung-1 pada 2021 dan telah memasuki fasa pelaksanaan selepas keputusan pelaburan muktamad (FID) dicapai pada Februari lalu.
PTTEP menyasarkan pengeluaran pertama minyak pada tahun 2028, selaras dengan jadual pembangunan projek berkenaan.
Majlis pemeteraian kontrak EPC itu telah disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kuching pada 26 Mei 2026.

Kontrak EPC itu melibatkan pembinaan platform pemprosesan pusat serta platform kepala telaga bagi medan Sirung dan Chenda.
Skop kerja turut merangkumi pembinaan struktur utama serta komponen proses dan utiliti dengan jumlah anggaran sekitar 8,500 tan struktur bahagian atas platform dan struktur bawah laut.
Selain itu, projek ini turut melibatkan pemasangan peralatan utama termasuk penjana turbin gas dan pemampat suntikan gas sebagai sebahagian daripada sistem pengeluaran dan pemprosesan.
Syarikat Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd sebelum ini telah diberi kontrak untuk membina sehingga 11 platform kepala telaga bagi projek di Sarawak, termasuk Sirung dan Chenda. Platform ini berfungsi sebagai struktur awal di laut untuk menyalurkan minyak dan gas dari bawah tanah sebelum diproses.
Sementara itu, Brooke Holdings akan melaksanakan kerja pembinaan struktur sokongan utama platform (jacket) di yard Demak Laut serta fabrikasi struktur bahagian atas platform seberat kira-kira 8,500 tan di yard Sejingkat, yang akan menempatkan peralatan pemprosesan minyak dan gas.
Kontrak ini merupakan yang terbesar pernah diperoleh Brooke Holdings dalam sektor minyak dan gas (O&G), sekali gus mengukuhkan keupayaan syarikat dalam pelaksanaan projek EPC berskala besar.
Menurut PTTEP Sarawak Oil, projek ini dibangunkan hasil kerjasama dengan rakan strategik termasuk Malaysia Petroleum Management (MPM), PETRONAS, PETRONAS Carigali dan Mitsui Oil Exploration Co Ltd sejak penemuan Sirung-1.
PTTEP berkata projek ini akan dilaksanakan dengan pendekatan pengeluaran tenaga yang lebih bertanggungjawab melalui konsep ‘zero routine flaring’ serta operasi dari jauh (remote operations) bagi mengurangkan impak alam sekitar.

Dari sudut ekonomi, projek ini dijangka menjana kira-kira RM480 juta melalui aktiviti perolehan tempatan yang melibatkan pembelian 100% bahan dan item kejuruteraan tempatan serta dijangka mewujudkan sekitar 1,100 peluang pekerjaan secara langsung serta kira-kira 200 pekerjaan tidak langsung dalam pelbagai bidang teknikal termasuk keselamatan, kawalan kualiti, kimpalan, elektrikal & instrumentasi dan mekanikal.
Brooke Holdings menjangkakan projek ini turut membuka peluang latihan industri dan pembangunan bakat tempatan, khususnya graduan baharu dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.
Dalam pada itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek ini mencerminkan komitmen negeri itu terhadap pembangunan tenaga yang lebih mampan, cekap dan rendah karbon, selari dengan aspirasi jangka panjang Sarawak.
Beliau berkata ketidaktentuan pasaran tenaga global, termasuk faktor geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan permintaan tenaga, menjadikan pembangunan projek seperti ini semakin penting bagi memastikan keselamatan tenaga serantau. - DagangNews.com








