KUALA LUMPUR 3 Ogos - Setelah Malaysia, negara jiran Indonesia pula memuktamadkan keputusan membeli 12 buah dron bernilai AS$300 juta jenis Anka buatan Turkiye bagi mengukuhkan pertahanan negara.
Perolehan ini menjadikan Indonesia sebagai pengguna kedua sistem dron tersebut di rantau ini.
Anka, dron jenis Medium Altitude Long Endurance (UAS-MALE) yang dibina firma Turkish Aerospace (TAI) ini dijangka akan diterima pada tahun 2025.
Ia mempunyai kemampuan untuk terbang selama 24 hingga 30 jam, 30,000 kaki altitud dan membawa bebanan antara 250-350 kilogram.
Setiap sebuah Anka berkemampuan membawa empat buah peluru berpandu MAM Smart Micro Munitions yang dibangunkan oleh sebuah lagi syarikat Turki, Roketsan.

Peluru berpandu MAM juga memiliki beberapa varian iaitu MAM-L (thermobaric), MAM-C (high explosive) dan MAM-T (serangan jarak jauh).
Difahamkan daripada jumlah itu sebanyak enam buah dron digunakan tentera udara manakala masing-masing tiga unit untuk tentera laut dan darat negara itu.
12 unit dron ANKA dijangka akan dihantar sebelum November 2025.
Pada Januari lalu, Indonesia mengukuhkan lagi perjanjian bernilai AS$805 juta untuk membeli 12 buah pesawat pejuang Mirage 2000-5 terpakai dari Qatar.
Bagaimana pun, pembelian tersebut telah dikritik beberapa pihak di republik tersebut kerana usia pesawat yang lebih 20 tahun selain disifatkan sebagai tidak berbaloi.

Bagi Kementerian Pertahanan pula, tentera udara Indonesia memerlukan pesawat pejuang yang dapat diserahkan dengan cepat untuk mengukuhkan pertahanan udara negara.
Pembelian ini juga untuk menggantikan pesawat-pesawat usang sedia ada yang mana sebahagiannya sedang dinaik taraf, baik pulih atau dibaiki semasa menunggu pesawat baharu ditempah.
Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto juga telah bersetuju untuk membeli 42 unit pesawat pejuang Dassault Rafale pada Februari tahun lalu dengan nilai AS8.1 bilion.
Pesawat ini akan diterima secara berperingkat-peringkat dengan pesanan awal adalah enam buah pesawat bermula tahun 2026.


Dalam kontrak pembelian Anka oleh Indonesia , pihak TAI juga bersedia untuk memindahkan teknologi pembinaan dron itu ke sana.
Rancangannya ialah baki enam dron akan dibina secara usahasama dengan firma tempatan, PT Dirgantara Indonesia di Bandung, Jawa Barat.
Perkara ini merupakan sesuatu yang bakal menyumbang pada pembangunan industri pertahanan Indonesia sebagaimana yang diketahui sedang giat meneroka peluang-peluang baharu.
Ini juga boleh membuka potensi pada Indonesia untuk mewujudkan industri pertahanan yang kemampuannya hampir menyamai Turkiye menerusi pemindahan teknologi.

Memandangkan industri dron dan penggunaan pesawat itu semakin berkembang, maka ia merupakan langkah terbaik bagi negara jiran berkenaan.
Malaysia pada Mei lalu mengesahkan pembelian tiga dron Anka-S yang dimeterai pada Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi bernilai RM428 juta.
Anka-S akan dioperasikan oleh No. 11 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah dinamakan sebagai Skuadron UAS. - DagangNews.com








