Indonesia beku penghantaran rakyatnya bekerja di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indonesia beku penghantaran rakyatnya bekerja di Malaysia

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 13 Julai - Indonesia menghentikan sementara semua proses berkaitan pengambilan pekerja dari negaranya di semua sektor bermula hari ini.

 

Ia susulan wujud salah faham dalam penggunaan sistem yang sudah dimeterai untuk digunakan sebelum ini.

 

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, pihaknya sudah menghantar maklum balas itu kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berhubung perkara itu.

 

"Mana-mana proses pengambilan yang sudah diluluskan sebelum ini akan diteruskan, cuma permohonan baharu tidak dilakukan.

 

"Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai April lalu menyatakan System Maid Online (SMO) tidak digunakan lagi, namun ia didapati masih digunakan.

 

"Berdasarkan MoU itu, kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu One Channel System (OCS), justeru saya tidak pasti mengapa ini masih berlaku.

 

"Ia jelas melanggar MoU yang ditandatangani di hadapan Presiden dan Perdana Menteri kedua-dua negara," katanya kepada BH di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, Indonesia kekal dengan keputusannya jika tiada tindakan diambil di pihak Malaysia, Berita Harian melaporkan.

 

April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia berhubung pengambilan pembantu rumah Indonesia.

 

MoU itu mengandungi empat elemen utama antaranya menggunakan hanya satu saluran tunggal kemasukan amah Indonesia atau OCS, menggunakan konsep One Maid One House dan kos ditetapkan pada kadar maksimum RM15,000.

 

Selain itu, gaji permulaan amah Indonesia ditetapkan RM1,500 bersamaan dengan kadar gaji minimum semasa negara. - DagangNews.com