KUALA LUMPUR 9 Ogos - India mengintai peluang ekonomi yang akan muncul dengan rangka kerja Ekonomi Madani, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy.
Beliau berkata industri semikonduktor merupakan salah satu peluang yang negara itu berhasrat untuk menjalinkan kerjasama.
“Kadar pertumbuhan penggunaan semikonduktor global akan sangat tinggi, sehinggakan jika kita bekerjasama dengan syarikat Malaysia, ia tidak akan merugikan (untuk Malaysia), kerana akan ada pasaran yang besar untuk produk mereka di India,” kata Reddy.
The Star memetik ucapan Reddy dalam pertemuan diplomatik The Economic Club of Kuala Lumpur dan Star Media Group (ECKL-Star Media), anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik.
Reddy menambah bahawa keperluan untuk semikonduktor akan berkembang dengan pantas, contohnya, industri automobil India yang mencatat pertumbuhan melebihi 7% hingga 8% setahun.
“Ini adalah bidang utama yang boleh mempunyai usaha kolaboratif. India juga merupakan pengeluar telefon bimbit kedua terbesar hari ini,” ujar beliau.
Reddy turut menjangkakan eksport minyak sawit dari Malaysia ke India akan terus berkembang, walaupun negara Asia Selatan itu kini turut mengusahakan industri minyak sawitnya sendiri.
“India tidak mempunyai keadaan iklim yang sesuai untuk mengeluarkan (banyak) minyak sawit, kecuali dua kawasan kecil.
“Walaupun kami mempunyai industri sawit sendiri, permintaan masih akan meningkat, pada masa akan datang, didorong oleh pertumbuhan penduduk,” katanya.
"India masih tidak dapat menghasilkan pengeluaran sawit mencukupi untuk penggunaannya yang semakin meningkat," kata Reddy. - DagangNews.com








