Indeks volum perkhidmatan melonjak 4.1% pada suku keempat 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks volum perkhidmatan melonjak 4.1% pada suku keempat 2023 - DOSM

Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Indeks volum perkhidmatan mencatat peningkatan sebanyak 4.1% tahun ke tahun dengan mencatatkan 148.5 mata pada suku tahun keempat 2023, menjadikan prestasi tahunan bagi 2023 meningkat 5.6% berbanding 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun pula, indeks tersebut meningkat 0.6%. 

 

Beliau berkata, prestasi indeks volum perkhidmatan bagi suku tahun ini dipacu oleh kenaikan segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang tumbuh 4.2% berbanding tahun lepas.

 

Katanya, ia diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (6.6%), segmen perkhidmatan lain (7%) dan segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan (1%).

 

"Indeks volum bagi segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan meningkat 4.2% untuk merekodkan 150.2 mata. Prestasi ini didorong oleh pertumbuhan perdagangan borong dan runcit (4.2%), makanan serta minuman (2.4%) dan penginapan (10.1%).

 

"Pada masa yang sama, segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan meningkat 6.6% dengan mencatatkan 162.9 mata, disumbangkan oleh pertumbuhan pengangkutan dan penyimpanan (12.2%) serta maklumat dan komunikasi (3.2%)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, segmen perkhidmatan lain mencatatkan indeks volum 122.4 mata dengan pertumbuhan 7% hasil peningkatan dalam kesihatan swasta (11.3%), kesenian, hiburan dan rekreasi serta perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (4.2%) dan pendidikan swasta (5.6%). 

 

 

DOSM

 

 

Sementara itu katanya, segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan merekodkan pertumbuhan positif 1% berikutan peningkatan dalam profesional, saintifik dan teknikal serta pentadbiran dan khidmat sokongan (8.7%) dan hartanah (6.8%). Bagaimanapun, kewangan dan insurans jatuh -3.9%.

 

Katanya, bagi perbandingan suku tahunan pula, indeks volum perkhidmatan bagi suku tahun keempat 2023 naik 0.6%. 

 

Beliau berkata, prestasi itu disumbangkan oleh kenaikan segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan (1%), diikuti segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (1.6%) dan segmen perkhidmatan lain (2.5%). Sebaliknya, segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan turun -1.5%.

 

Katanya, indeks volum pelarasan musim turun -1.1 peratus berbanding suku tahun ketiga 2023. 

 

"Prestasi ini disebabkan kejatuhan dalam segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan (-2.6%) dan segmen perkhidmatan lain (-5.9%). Bagaimanapun, segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan penyimpanan dan segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan masing-masing meningkat 1.2% dan 0.6%," katanya. - DagangNews.com