KUALA LUMPUR 12 Julai - Prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pulih kepada 4.7% pada Mei 2023 daripada -3.3% dalam bulan sebelumnya, disokong oleh momentum positif dalam kesemua sektor, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam kenyataannya, jabatan itu berkata, pengembangan tersebut didorong oleh peningkatan terutamanya sektor pembuatan sebanyak 5.1% (April 2023: -3%); perlombongan 2.9% (April 2023: -4.9%) dan elektrik 5% (April 2023: -2%).
Berbanding April 2023, katanya, IPP mengukuh kepada 7.3% selepas mencatat pertumbuhan negatif 10.8% pada April 2023.
"Kenaikan sebanyak 5.1% bagi sektor pembuatan pada Mei 2023 itu dipacu oleh pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 10.1% dalam industri berorientasikan domestik (April 2023: -2.1%) yang disokong oleh pembuatan kenderaan bermotor, trailer dan separa trailer (16.4%) dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali jentera dan peralatan (11.9%),” katanya.
Selain itu, industri berorientasikan eksport meningkat sebanyak 2.8% berbanding April 2023sebanyak -3.5%, didorong oleh kenaikan pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan (13%) dan pembuatan kok dan petroleum bertapis (5.9%).
Bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan mencatat pertumbuhan positif 7% berbanding negatif 11.4% pada April 2023.
Menurutnya, peningkatan pengeluaran dalam sektor perlombongan kepada 2.9% pada Mei 2023 pula dipacu oleh kenaikan dalam kedua-dua indeks minyak mentah dan kondensat serta gas asli masing-masing sebanyak 0.6% dan 4.5%.

"Berbanding bulan sebelumnya, indeks perlombongan berkembang sebanyak 7.6% berbanding penyusutan 10.7% pada April 2023," katanya.
Jabatan Perangkaan berkata, pada masa sama, output elektrik menokok 5% pada Mei 2023 selepas negatif 2% pada April 2023.
Malah, bagi perbandingan bulan sebelumnya, indeks elektrik tumbuh kukuh sebanyak 10.1% (April 2023: -4.8%).
Bagi tempoh lima bulan pertama 2023, IPP menyederhana kepada 2% berbanding tempoh sama pada 2022 (Januari – Mei 2022: 4.1%), lapor Bernama.
"Dalam tempoh tersebut, sektor pembuatan berkembang 2.4% manakala sektor perlombongan dan elektrik masing-masing meningkat sedikit kepada 0.9% dan 0.1%," katanya. - DagangNews.com








