Indeks Pelopor meningkat kepada 111.3 mata, isyarat Malaysia dalam momentum pemulihan ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Pelopor meningkat kepada 111.3 mata, isyarat Malaysia dalam momentum pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR 25 Jan - Prestasi Indeks Pelopor (IP) Malaysia kekal optimistik pada November 2021, meningkat kepada 111.3 mata daripada 109.4 mata pada November 2020 apabila ekonomi beransur pulih daripada gangguan akibat pandemik COVID-19, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata 4 hingga 6 bulan ke hadapan.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Mohd Uzir Mahidin berkata, ini terutamanya didorong oleh kenaikan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan.

 

Katanya, kenaikan dalam IP ini memberi isyarat bahawa Malaysia mengalami pemulihan ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang.

 

"Banjir baru-baru ini dijangka memberi kesan terhad kepada pemulihan ekonomi berikutan tindakan pantas kerajaan dalam menyediakan inisiatif bantuan iaitu Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion dan ini diunjur dapat memulihkan aktiviti ekonomi di kawasan terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Ini selaras dengan pertumbuhan IP sebanyak 1.7% tahun ke tahun terutamanya didorong oleh kenaikan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan. 

 

Menyelusuri perspektif bulan ke bulan, trend yang sama didapati oleh IP dengan mencatatkan 1.6% pada November 2021, melonjak daripada negatif 0.9% pada Oktober 2021 yang disumbangkan terutamanya oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (0.7%) dan Penawaran Wang Benar, M1 (0.6%). 

 

IP yang menunjukkan keupayaan untuk menjangka hala tuju ekonomi lebih awal menggambarkan prospek ekonomi yang lebih baik dengan mengekalkan paras indeks melepasi 100.0 mata dan bergerak ke atas, memberi isyarat bahawa Malaysia mengalami pemulihan ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang.

 

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) terus meningkat sebanyak 3% tahun ke tahun untuk mencapai 114.3 mata pada November 2021.

 

IS yang mengukur keseluruhan prestasi ekonomi semasa meningkat sejak Ogos 2021, mencerminkan peningkatan dalam aktiviti ekonomi apabila langkah pembendungan dilonggarkan secara berperingkat. 

 

Berasaskan bulanan, pertumbuhan IS meningkat kepada 0.9% pada bulan rujukan daripada 0.8% yang direkodkan pada bulan sebelumnya. 

 

"Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan ketara dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (0.3%) dan Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (0.3%). - DagangNews.com