KUALA LUMPUR 27 Mac - Indeks harga pengeluar Malaysia yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, meningkat 0.3% pada Februari 2024 daripada negatif 0.6% pada Januari 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 6% disumbangkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (8.1%), perikanan (7.5%) dan pengeluaran ternakan (4.3%).
Pada masa yang sama katanya, sektor perlombongan mencatatkan peningkatan 5.3% dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah mencatatkan peningkatan 7.9%.
"Indeks bekalan air meningkat 3.6% pada Februari 2024 selaras dengan kenaikan tarif air di seluruh negara bermula pada 1 Februari 2024.
"Sektor bekalan elektrik dan gas juga meningkat perlahan 0.1% pada bulan ini. Sementara itu, sektor pembuatan terus menurun negatif 0.7% disebabkan penurunan dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-12.6%) dan pembuatan produk makanan (-3.3%)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 0.7% selepas penurunan 0.1% pada bulan lepas.
Katanya, sektor pembuatan kekal tidak berubah, manakala semua sektor lain mencatatkan kenaikan pada bulan ini.
"Sektor perlombongan naik 5.7% dengan peningkatan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (5.8%) dan pengekstrakan gas asli (5.2%). Sektor Pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.6 peratus disebabkan oleh penanaman tanaman kekal (4.3%) dan perikanan (3.7%).
"Bagi sektor utiliti, kedua-dua bekalan elektrik, gas dan bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 0.9% dan 2.7% pada Februari 2024," katanya.
Beliau berkata, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 5.6% pada Februari 2024 dengan indeks bahan bukan makanan mencatatkan peningkatan 6%.
Katanya, indeks barang siap juga meningkat 1.1%, disebabkan peningkatan indeks kelengkapan modal (2.9%).
"Bgaimanapun, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen terus turun negatif 1.7% disebabkan oleh indeks bahan api yang diproses dan pelincir (-12.9%) dan bahan serta komponen untuk pembuatan (-0.5%)," katanya.
Pada asas bulanan katanya, semua indeks menunjukkan peningkatan pada bulan ini. Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 2.7%, manakala indeks barang siap dan bahan perantaraan, bekalan dan komponen masing-masing meningkat sebanyak 0.7% dan 0.1%. - DagangNews.com