KUALA LUMPUR 10 Jan - Incite Foodtech Sdn Bhd bersetuju memperoleh Eatcosys Sdn Bhd, syarikat penyelesaian teknologi peruncitan tempatan yang baru-baru ini telah diiktiraf oleh KPMG dan HSBC sebagai salah satu daripada syarikat ‘unicorn’ Malaysia yang berpotensi.
Ketua Pegawai Eksekutif Incite Foodtech, Karen S Puah berkata, pemerolehan ini akan membolehkan pihaknya mencapai cita-cita untuk membangunkan ekosistem teknologi peruncitan bersepadu yang komprehensif di rantau ASEAN terdiri daripada Teknologi Pengguna, Penyelesaian Pemasaran Runcit, Penyelesaian Teknologi Runcit dan Perkhidmatan Fintech.
Beliau berkata, usaha tersebut menunjukkan gabungan kepakaran kedua-dua pihak serta rencana tawaran yang berbagai untuk mewujudkan ekosistem peruncitan bersepadu yang dapat membawa manfaat kepada kedua-dua segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pengguna (B2C).
"Perkembangan ini juga selaras dengan seruan kerajaan terkini dalam mengajak pemain industri untuk membangunkan lebih banyak produk inovatif dan strategi pembangunan pasaran melalui penggunaan ekonomi digital, ke arah revolusi industri runcit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengasas Bersama dan Pengerusi Eatcosys, Tham Lih Chung berkata, kedua-dua pihak menyasarkan untuk merevolusikan pasaran teknologi runcit di Malaysia, yang diintegrasikan dengan fintech.
"Inilah masa yang terbaik untuk kami bergabung tenaga dan membina ekosistem yang komprehensif, dengan saham terbitan awam (IPO) sebagai matlamat utama," katanya.
Tham yang bakal dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan, menyatakan bahawa mereka menyasarkan untuk mencapai hasil RM100 juta dalam tempoh 12 bulan dan sedang meneroka untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka di rantau ASEAN.
Data transaksi langsung daripada sektor pengguna, penyelesaian pemasaran runcit dan penyelesaian teknologi runcit digunakan sebagai penanda aras panduan untuk perkhidmatan fintech.
Semua tawaran berkaitan kewangan telah dielsenkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Malaysia dan Bank Negara Malaysia, serta dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. - DagangNews.com








