KUALA LUMPUR 13 Okt - RHB Investment Bank menyemak turun penarafan Inari Amertron Bhd. kepada 'neutral' berbanding 'beli' dengan harga sasaran lebih rendah pada RM2.78 daripada RM3.54 sesaham sebelum ini.
Penilaian itu mengambil kira ketidaktentuan makroekonomi, risiko kontrak tidak diperbaharui, kelembapan dalam pasaran semikonduktor dan nada 'hawkish' Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) secara berterusan yang menyumbang kepada peningkatan hasil bon yang akan terus melembapkan penilaian ekuiti.
Sejajar dengan semakan itu, firma tersebut turut mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) dan FY24 masing-masing sebanyak 6.3% dan 10% bagi mencerminkan volum yang lebih rendah dan kekuatan dolar AS berbanding ringgit.
"Kami mengambil kira kelembapan pasaran semikonduktor, cabaran pertumbuhan global dan hasil bon dalaman dan andaian kadar tukaran asing dalam penilaian.
"Namun, kami menyukai Inari Amertron sebagai proksi kepada sektor teknologi dalam pertumbuhan jangka sederhana FBM KLCI dan langkah pengembangan di China.
"Tetapi, pada masa sama, kami mengiktiraf keadaan pasaran semasa yang tidak menentu, ketidaktentuan permintaan dan tidak terjual akibat bekalan komponen wayarles yang tamat tempoh semasa dengan pelanggan telefon pintar utama pada pertengahan 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut RHB Investment, pertumbuhan dijangka menyederhana pada FY23 dengan pertumbuhan volum minimum yang terhad daripada segmen frekuensi radio (RF) ekoran jualan telefon pintar yang perlahan ketika tempoh berkenaan.
Secara keseluruhan, pertumbuhan dalam tempoh itu boleh berpunca daripada sumbangan yang lebih baik daripada produk optoelektronik dan generik, sumbangan daripada pelanggan baharu dan pergerakan kadar tukaran yang menggalakkan.
Firma itu berkata, mungkin terdapat risiko yang berlarutan daripada pembekalan komponen wayarles kepada jenama telefon pintar utama melalui pelanggan terbesarnya (kontrak semasa tamat pada pertengahan 2023) jika perjanjian selanjutnya tidak dapat dicapai atau terdapat pengurangan kontrak komponen.
"Sekiranya pelanggan utama ini memilih penyelesaian hujung ke hujung yang disediakan oleh pesaing terdekat, Qualcomm atau berjaya membangunkan penyelesaian dalaman sendiri, ini mungkin menimbulkan risiko pendapatan yang ketara kepada Inari Amertron," jelasnya.
Namun, ia mendapati syarikat usaha sama dengan China Fortune-Tech Capital untuk mengembangkan kedudukan di negara tersebut sedang berjalan dengan baik.
Katanya, suntikan modal saham dan perjanjian usaha sama dijangka dimuktamadkan menjelang 2022 selepas terjejas oleh sekatan pergerakan yang berterusan di China.
"Pembinaan bangunan di kawasan seluas 11 ekar yang telah bermula dengan kerja-kerja tanah pula dijangka siap menjelang separuh kedua FY23," katanya.
Setakat 11.26 pagi, harga saham Inari Amertron susut 1 sen atau 0.42% kepada RM2.36 dengan 2.56 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








