Ikhlas bekerjasama dengan Dar Al Eiman jamin penginapan untuk jemaah umrah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ikhlas bekerjasama dengan Dar Al Eiman jamin penginapan untuk jemaah umrah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (Ikhlas), platform kembara dan gaya hidup mesra-Muslim Capital A yang menawarkan pakej umrah mampu milik dengan penerbangan terus AirAsia X ke Jeddah, memeterai kerjasama strategik dengan Dar Al Eiman Investment Co (Dar Al Eiman) bagi mengukuhkan kedudukannya dalam sektor kembara umrah.

 

Perjanjian selama lima tahun itu bertujuan meningkatkan keselesaan jemaah umrah dan mengurangkan kerisauan mereka dengan memberikan penempatan yang mampu milik, selesa dan tempahan hotel yang sahih apabila menjalani ibadah di Mekah dan Madinah.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ikhlas Kamarudin berkata, adalah suatu keistimewaan untuk menjalin kerjasama dengan operator tempatan yang berpengalaman luas dan pemilihan hotel di Mekah serta Madinah. 

 

Katanya, kerjasama itu akan membantu pihaknya mengatasi masalah hotel yang semakin membimbangkan berikutan kenaikan permintaan dalam kalangan jemaah umrah.

 

“Dar Al Eiman juga menzahirkan keterbukaan mereka bagi menambah pelaburan di Arab Saudi untuk menyokong umrah Ikhlas selain tawaran pelancongan mesra-Muslim kami pada masa hadapan. 

 

ikhlas

 

"Dengan penerbangan AirAsia X dan kini jaminan tempahan hotel, kami mahu membantu lebih ramai umat Islam mengerjakan umrah dengan murah, selesa dan tenang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pihaknya sememangnya berhasrat untuk menyumbang kepada perjalanan kerohanian bagi jemaah umrah. 

 

"Menyaksikan jumlah jemaah melaksanakan ibadah mereka di Mekah dan Madinah, saya berdoa agar kami mampu menjadi operator umrah pilihan semua dan memberikan perkhidmatan terbaik dalam melaksanakan tuntutan agama.

 

“Tidak lama lagi, saya berharap kami dapat memperluaskan perkhidmatan bukan sahaja di Malaysia malah seluruh rantau ASEAN, sejajar dengan jaringan luas AirAsia dengan pakej Umrah yang mudah, efisien, mampu milik dan selesa untuk semua umat Islam," katanya. 

 

Dilancarkan pada Oktober 2020, Ikhlas merupakan platform kembara dan gaya hidup patuh shariah direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah. 

 

Selain umrah dan tawaran pelancongan halal dengan usahasama syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia X, Ikhlas turut memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah zakat, sadaqah, aqiqah, fidyah dan qurban. - DagangNews.com