IJM Land bakal lancar projek Daffodil Residency dengan GDV RM124 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IJM Land bakal lancar projek Daffodil Residency dengan GDV RM124 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Julai - IJM Land Bhd merancang untuk melancarkan kediaman bertingkat terbaharunya, Daffodil Residency di Bandar Alam Suria pada 2 Oktober ini.

 

Bandar Suria Alam ialah sebuah perbandaran bernilai RM3.6 bilion, seluas 470.6 hektar yang terletak di Puncak Alam, Selangor yang terdiri daripada komponen kediaman dan komersial. Sehingga kini, sebanyak 60% perbandaran telah siap dibina.

 

IJM Land berkata, pembangunan Daffodil Residency akan dibina dengan amalan pembinaan mampan dan ia telah memperoleh pensijilan penilaian GreenRE Gangsa.

 

Katanya, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM124 juta, kediaman 18 tingkat itu akan menempatkan sebanyak 354 unit rumah. 

 

"Terdapat 14 unit di tingkat bawah dan 20 unit di setiap 17 tingkat yang tinggal. Unit-unit ini dilengkapi dengan balkoni dan mempunyai binaan bermula dari 850 kaki persegi, dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi. 

 

"Harga permulaan adalah RM340,000. Setiap unit dilengkapi dengan dua ruang tempat letak kereta terbuka," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan IJM Land, Chai Kian Soon berkata, Daffodil Residency memenuhi keperluan penting dalam komuniti dengan menawarkan pilihan perumahan yang sederhana untuk pembeli baharu, sama ada individu atau keluarga, yang tertarik dengan pembangunan berterusan di kawasan itu. 

 

 

ijmland

 

 

"Ia menangani keperluan perumahan yang pelbagai dalam kawasan itu, memastikan individu daripada pelbagai peringkat pendapatan mendapat rumah yang sesuai.

 

"Unit di Daffodil Residency mempunyai susun atur praktikal yang dilengkapi dengan landskap sekeliling. Lanskap yang dirancang dengan teliti meningkatkan daya tarikan estetik keseluruhan dan membolehkan penduduk menyelami keindahan semula jadi di sekeliling mereka," katanya.

 

Selain itu, Daffodil Residency akan mempunyai struktur berbentuk L dan konsep terbuka dan pengudaraan silang yang membantu memaksimumkan peredaran udara dalam apartment.

 

 

ijmland

 

 

Kemudahan yang disediakan termasuk kolam renang dan handuk, jakuzi, gimnasium, gelanggang badminton, kawasan taman permainan untuk kanak-kanak dan surau. 

 

Kediaman itu juga berada di bawah pengawasan CCTV 24 jam dari rumah pengawal dan seterusnya dikawal oleh pagar perimeter anti-panjat setinggi enam kaki. Ia juga akan mempunyai stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di tempat letak keretanya.

 

Kemudahan berdekatan termasuk IJM Land Central Park seluas 4.45 hektar, hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kampus universiti.

 

Daffodil Residency juga boleh diakses melalui lebuh raya dan rangkaian jalan raya seperti Persiaran Mokhtar Dahari, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Elite, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Koridor Guthrie, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash), dan Lebuhraya Pantai Barat yang akan datang. - DagangNews.com