KUALA LUMPUR 14 Jun - Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) berjaya menerbitkan semula sukuk jangka pendek bernilai AS$1.2 bilion untuk tempoh sebulan, tiga bulan dan 12 bulan.
Ketiga-tiga siri sukuk itu berharga kompetitif pada 5.35% bagi AS$470 juta (tempoh satu bulan); 5.6% bagi AS$460 juta (tempoh tiga bulan) dan 5.65% bagi AS$270 juta (tempoh 12-bulan).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Umar Oseni berkata, terbitan semula sukuk itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada peniaga dan juga pelabur utama dengan gabungan nilai perolehan AS$1.7 bilion, mewakili nisbah purata bidaan kepada terbitan 147%.
“Memandangkan saiz terbitan ini, kami gembira lelongan keenam IILM dapat dimuktamadkan dengan jayanya bagi tahun ini.
“Kami gembira dengan terbitan tempoh 12 bulan, kerana ia menandakan kali ketiga tempoh jangka panjang dikeluarkan sejak terbitan sulungnya pada Julai tahun lepas,” kata dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata meskipun keadaan pasaran global yang mencabar susulan isu siling hutang Amerika Syarikat, lelongan itu menyaksikan nisbah liputan yang kukuh merentas semua tempoh, menandakan permintaan berterusan terhadap instrumen pengurusan kecairan Islam IILM oleh pelabur yang mencari kertas patuh syariah berkualiti tinggi.
Terbitan itu membentuk sebahagian daripada program terbitan sukuk jangka pendek IILM bernilai AS$4 bilion yang diberi penarafan A-1 (S&P) dan F1 (Fitch Ratings).
Setakat ini, IILM telah mencapai terbitan kumulatif berjumlah AS$5.55 bilion menerusi siri 18 Sukuk.
“IILM adalah penerbit tetap sukuk jangka pendek dalam pelbagai tempoh dan amaun untuk menyediakan kepada keperluan kecairan institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam dan amaun IILM Sukuk kini berjumlah AS$3.51 bilion.
“IILM akan terus menerbitkan semula instrumen kecairan jangka pendeknya setiap bulan seperti yang dijadualkan dalam kalender terbitannya,” katanya. - DagangNews.com








