IHH Healthcare diunjur catat hasil lebih baik tahun ini didorong peningkatan kadar penghunian katil - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IHH Healthcare diunjur catat hasil lebih baik tahun ini didorong peningkatan kadar penghunian katil - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jun - Kenanga Research mengunjurkan IHH Healthcare Bhd mencatatkan pertumbuhan hasil lebih baik bagi setiap pesakit didorong daya pengeluaran serta kadar penghunian katil (BOR) yang lebih tinggi pada tahun ini.

 

Katanya, unjuran itu disokong oleh peralihan ke arah campuran kes yang lebih baik dan pelancongan perubatan, serta penambahan katil baharu yang sebelum ini dikekang oleh kekurangan kakitangan yang dilihat semakin baik.

 

"Malaysia dijangka mengekalkan prestasinya, manakala Singapura berjaya menyelesaikan isu kekurangan kakitangannya.

 

"Selain itu, terdapat peningkatan pelancong perubatan dari Asia Barat dan Asia Tengah ke hospital IHH di Turkiye dan India," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) menyusut kepada RM767.97 juta berbanding RM1.39 bilion pada tahun lalu, penurunan sebanyak 45%.

 

Hasil bagi suku tersebut bagaimanapun meningkat kira-kira 16% kepada RM5.96 bilion daripada RM5.14 bilion, dipacu oleh permintaan yang berterusan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merancang untuk meningkatkan kapasiti katil melebihi 30% atau 4,000 katil dalam tempoh lima tahun akan datang di seluruh Malaysia, India, Turkiye dan Eropah.

 

Katanya, peluasan kapasiti juga akan merangkumi peningkatan semula dan pengubahsuaian kepada kemudahan sedia ada, pembinaan sambungan, pembinaan baharu dan penempatan semula beberapa perkhidmatan sampingan pelengkapnya ke tapak alternatif berhampiran hospital untuk memanfaatkan lebih banyak ruang untuk pesakit dalam.

 

"Mereka juga akan memberi tumpuan kepada meningkatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE).

 

"ROE telah meningkat daripada 6% pada 2022 kepada 11% pada Disember 2023. Kumpulan akan terus meningkatkan sinergi kumpulan dan kecekapan operasi," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM7.00 sesaham.- DagangNews.com