I-Berhad catat keuntungan sebelum cukai RM7.2 juta pada 4QFY23 didorong segmen riadah dan hospitaliti di i-City | DagangNews Skip to main content

I-Berhad catat keuntungan sebelum cukai RM7.2 juta pada 4QFY23 didorong segmen riadah dan hospitaliti di i-City

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - I-Berhad mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) RM7.2 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), meningkat 15% daripada RM6.37 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ini disokong oleh segmen riadah dan hospitaliti yang mencatat PBT RM7.2 juta pada suku berkenaan berbanding kerugian bersih RM2.7 juta tahun sebelumnya, didorong kempen ‘One Shah Alam One Destination’.

 

Kumpulan itu juga melaporkan peningkatan pendapatan sebanyak 5% kepada RM44.4 juta berbanding RM42.3 juta sebelumnya.

 

Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, tumpuan kumpulan untuk merancakkan i-City telah mewujudkan kesan penggandaan jangka panjang yang mampan untuk bahagian pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan riadah kumpulan dalam menghadapi landskap ekonomi yang dinamik.

 

 

Tan Sri Lim Kim Hong
Tan Sri Lim Kim Hong

 

 

Sehingga 31 Disember 2023, jualan belum dibil I-Berhad untuk BeCentral meningkat 30% kepada RM112.8 juta daripada RM87.3 juta pada 2022.

 

“Kumpulan telah meletakkan asas yang kukuh untuk sebuah bandar yang berkembang maju menerusi pelbagai projek inovasi perniagaan, peningkatan dan kerjasama tahun lepas. 

 

“Ini telah menghasilkan permintaan yang konsisten dalam i-City termasuk peningkatan lima kali ganda dalam jumlah, membawa kepada lebih banyak aktiviti komersial dan pendapatan untuk rakan kongsi runcit. 

 

“Kesan melata juga meninggalkan kesan positif pada bahagian pelaburan hartanah kami bagi DoubleTree by Hilton i-City; Best Western Hotel; pusat beli-belah Central i-City dan peruncitan CityWalk,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Dengan memanfaatkan peningkatan tahun ini, Lim berkata I-Berhad akan memberi tumpukan kepada inisiatif pemasaran yang disasarkan untuk BeCentral sambil terus mengukuhkan kedudukan i-City sebagai destinasi terkenal di pusat bandar Shah Alam melalui pelbagai penambahbaikan.

 

Lim menambah bahawa kumpulan itu juga mengukuhkan portfolio hartanah pelaburannya dengan memaksimumkan pulangan daripada komponen utama seperti Menara Korporat Mercu Maybank, pusat data, pusat beli-belah Central i-City dan blok tempat letak kereta.

 

“Matlamat kami adalah untuk mencipta nilai yang menarik untuk penyewa dan rakan kongsi perniagaan yang bersesuaian dengan hartanah pelaburan berbilion dolar kami.

 

“Begitu juga, segmen riadah dan hospitaliti akan menjadi satu lagi tumpuan pada 2024, dengan pelaburan yang bertujuan meningkatkan pengalaman pelawat dan mengukuhkan reputasi i-City sebagai destinasi riadah dan hiburan yang rancak,” katanya. - DagangNews.com