Ekonomi Pulau Pinang berkembang 7.3% pada 2025, KDNK cecah RM130.3 bilion - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Pulau Pinang berkembang 7.3% pada 2025, KDNK cecah RM130.3 bilion - DOSM

KUALA LUMPUR 3 Julai – Ekonomi Pulau Pinang berkembang 7.3 peratus pada 2025 dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat kepada RM130.3 bilion berbanding RM121.4 bilion pada tahun sebelumnya, disokong prestasi kukuh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan memaklumkan sektor pembuatan dan perkhidmatan terus mendominasi ekonomi negeri itu dengan sumbangan kumulatif 94 peratus kepada KDNK, diikuti sektor pembinaan sebanyak 3.3 peratus.

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sektor pembuatan menyumbang 47.3 peratus kepada KDNK Pulau Pinang pada 2025 dengan nilai ditambah RM61.7 bilion, meningkat 10 peratus berbanding pertumbuhan 4 peratus pada tahun sebelumnya.

 

Beliau berkata subsektor elektrik, elektronik dan optik menjadi pemacu utama apabila berkembang 12.7 peratus, disokong peningkatan dalam segmen komponen dan papan elektronik, peralatan komunikasi serta elektronik pengguna.

 

"Selain itu, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam direka turut menyokong pertumbuhan sektor ini apabila meningkat 8.7 peratus," katanya.

 

Sektor perkhidmatan pula mencatat nilai ditambah RM60.8 bilion berbanding RM58.4 bilion pada 2024 dengan pertumbuhan 4.1 peratus, dipacu subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang meningkat 5.6 peratus, selain utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebanyak 2.7 peratus.

 

Sementara itu, sektor pembinaan mencatat nilai ditambah RM4.3 bilion berbanding RM3.8 bilion pada tahun sebelumnya dengan pertumbuhan 13.4 peratus, disokong subsektor kejuruteraan awam dan pembinaan pertukangan khas.

 

Sektor pertanian pula berkembang 1.8 peratus berbanding penguncupan 0.5 peratus pada 2024, dipacu subsektor perikanan yang meningkat 3.4 peratus, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian naik 1.1 peratus.

 

Dalam pada itu, KDNK per kapita Pulau Pinang meningkat RM4,477 kepada RM80,584, melebihi paras nasional sebanyak RM59,167.– BERNAMA