KUALA LUMPUR 3 Julai – Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Syed Hisham Syed Wazir dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Feytech Holdings Bhd.
Syarikat berkenaan melalui makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pelantikan tokoh korporat yang cukup berpengalaman luas dalam industri global terutamanya automotif itu berkuat kuasa pada 3 Julai 2026.
Pada masa sama, beliau turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Audit kumpulan tersebut, yang dipengerusikan Leou Thiam Lai, dan juga dianggotai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Leou Thiam Lai.
"Syed Hisham, 72, memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, daripada Ohio State University, Amerika Syarikat (AS), dan kelayakan profesional diiktiraf Institute of Motor Industry, Britain," kata Feytech.
Beliau juga merupakan graduan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal daripada Plymouth University, United Kingdom serta Diploma Kejuruteraan, Hastings College of Further Education, United Kingdom.
Sepanjang kerjayanya, Syed Hisham pernah menerajui beberapa syarikat korporat utama di negara ini termasuk UMW dari 2010 hingga 2015, serta sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Naza Kia Sdn Bhd.
Selain itu ujar Feytech, beliau pernah menjadi Pengarah Urusan Kumpulan Puncak Niaga Holdings Berhad, dan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), serta Presiden dan COO Honda Malaysia Sdn Bhd.
Di samping Syed Hisham pernah menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat utama, antaranya termasuk UMW Toyota Motor Sdn Bhd, PERODUA Sales Sdn Bhd, serta UMW Oil & Gas Corporation Berhad.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif di MSM Malaysia Holdings Berhad dan Progressive Impact Corporation Berhad, selain pengarah dalam beberapa syarikat berkaitan SIRIM.
Justeru, pelantikan Syed Hisham dijangka membawa pengalaman luas automotif, kejuruteraan, tadbir urus korporat dan pengurusan strategik, sejajar usaha Feytech mengukuhkan perniagaan. - DagangNews.com








