HSS raih kontrak perkhidmatan pengurusan projek daripada Yellowwood | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSS raih kontrak perkhidmatan pengurusan projek daripada Yellowwood

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - HSS Engineers Bhd. menerusi syarikat bersekutunya, HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI) menerima surat arahan daripada Yellowwood Properties Sdn Bhd (YPSB) untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan projek kepada YPSB membabitkan kontrak bernilai RM8.79 juta. 

 

Perkhidmatan itu bagi membina kampus pusat data baharu dan pencawang elektriknya yang akan ditempatkan di Sedenak Tech Park (STEP), Johor.

 

"Surat ini dikeluarkan menurut Perjanjian Rangka Kerja untuk Perkhidmatan Perundingan yang dilaksanakan antara YPSB dan HSSI.

 

"Kontrak ini dijangka mengambil masa selama 18 bulan mulai 12 Januari 2023," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Menurut kumpulan, skop perkhidmatan HSSI hendaklah meliputi semua fasa projek tetapi tidak terhad kepada kawalan & pelaporan projek, perancangan, pengurusan pembinaan dan pengurusan kesihatan & keselamatan.

 

HSS menjangkakan kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih Kumpulan HEB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Katanya, ia tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan/atau struktur pegangan saham HEB.

 

"Kontrak bagi perkhidmatan ini akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luar," katanya. - DagangNews.com