HSS jalin kerjasama dengan IWK teroka peluang di UAE | DagangNews Skip to main content

HSS jalin kerjasama dengan IWK teroka peluang di UAE

Ketua Pegawai Eksekutif HHS Engineering, Ir. Sharifah Azlina Raja Kamal Pasmah (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn. Bhd., Narendran Maniam (dua dari kiri) pada majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak, hari ini.

KUALA LUMPUR 23 Mac - HSS Engineers Bhd. menerusi unitnya, HSS Engineering Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) untuk meneroka peluang dalam pengurusan dan perkhidmatan teknikal di Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

 

Kerjasama strategik ini membolehkan HSS Engineering memanfaatkan pengalamannya lebih 35 tahun untuk membawa teknologi, penyelesaian inovatif dan kepakaran yang akan menambah nilai kepada IWK.

 

Di samping itu, ia dapat membantu menyediakan perkhidmatan termasuk kemampanan, teknologi hijau, BIM dan pengurusan nilai menerusi kerjasama tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HSS Engineering, Ir. Sharifah Azlina Raja Kamal Pasmah berkata, MOU itu merupakan kerjasama yang menarik antara peneraju industri dengan kepakaran teknikal yang mantap bersama perunding kejuruteraan dan pengurusan projek yang terbukti memiliki rekod prestasi dengan penyampaian perkhidmatan yang cekap.

 

Katanya, HSS berbesar hati membawa IWK ke peringkat antarabangsa dalam pasaran pertumbuhan tinggi UAE, memanfaatkan pengalaman sebelum ini sebagai perunding kejuruteraan untuk Nad Al Sheba Racecourse, Pembangunan Taman Teknologi dan kajian pelan induk untuk Madinat Al-Arab, selain menjadi perunding BIM untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, Muzium Louvre terapung dan Reem Mall.

 

"Setelah menyokong pelan pembangunan bandar dan luar bandar di Malaysia secara individu, kami percaya gabungan pengalaman kami yang kuat, ditambah dengan pertalian untuk menerima pakai teknologi generasi akan datang yang mampan, berupaya meletakkan kami secara strategik dalam memacu peningkatan infrastruktur air di UAE pada fasa pembangunan kritikal ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kerjasama antara IWK dan HSS Engineering adalah sah bagi tempoh selama 2 tahun.

 

Antara skop perkhidmatan IWK di bawah MoU ini termasuklah penyediaan perkhidmatan pengurusan merangkumi pembangunan korporat, sumber manusia dan pengurusan perubahan, maklumat, komunikasi dan teknologi, perkhidmatan pelanggan, pengurusan kewangan dan perkhidmatan sokongan pengurusan.

 

Di samping itu, IWK juga berupaya menawarkan perkhidmatan teknikal merangkumi modal kerja pengurusan projek, rawatan air kumbahan, pengumpulan air kumbahan, pengurusan aset, perancangan modal dan perkhidmatan sokongan teknikal. -DagangNews.com