KUALA LUMPUR 22 Jun - HSS Engineers Berhad telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Index Strategy, Inc. untuk meneroka peluang dan bekerjasama secara strategik atas dasar 'rakan kongsi pilihan' dalam pelbagai sektor berkepentingan termasuk projek pelaburan perkongsian awam-swasta (PPP).
Dalam satu kenyataan media hari ini, HSS Engineers berkata kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam projek infrastruktur yang berpotensi di ASEAN, India dan mana-mana negara lain termasuk di rantau Timur Tengah Afrika Utara (MENA).
Index merupakan perintis pengurusan projek yang diiktiraf dalam industri pembinaan di Jepun, pakar dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan pelbagai jenis projek mengikut keperluan khusus pengguna awam, swasta dan perkhidmatan.
Selain itu, syarikat tersebut mempunyai kehadiran PPP global yang ketara dengan projek dijalankan di Ghana, Vietnam dan Filipina.
Menurut HSS Engineers, anak syarikatnya dan Index akan mengambil bahagian dalam peluang perniagaan dengan keutamaan diberikan kepada projek infrastruktur sosial dan awam melalui pelaburan PPP dalam sektor pengangkutan, air dan infrastruktur awam termasuk bandar pintar, hospital, universiti dan projek perumahan sosial.
Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata kerjasama strategik itu membolehkan kumpulan itu terus berada di barisan hadapan menerajui pembangunan infrastruktur serantau.
“MoU yang dimeterai dengan Index membolehkan kami memanfaatkan lagi kepakaran pengurusan projek memandangkan kami memainkan peranan utama dalam projek berimpak tinggi di Malaysia, seperti projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan itu.
Kuna berkata kumpulan itu yakin bahawa perkongsian pilihan dengan satu lagi syarikat antarabangsa yang hebat adalah langkah tepat dalam membawa kepakaran kejuruteraannya ke peringkat global.
Ini merupakan perkongsian pilihan keempat HSS Engineers dengan firma Jepun, selepas menandatangani MoU serupa dengan Oriental Consultants Global Co. Ltd, Yachiyo Engineering Co., Ltd dan Shizen International Inc. pada tahun lalu.
Selain meraih keyakinan rakan kongsi Jepun, Kuna berkata, kumpulan itu mengorak langkah mewujudkan hasil berulang dengan melabur dalam aset yang akan memberi keterlihatan pendapatan bagi jangka panjang.
“Kumpulan pastinya sedang mengumpul momentum dalam mempelbagaikan liputan sektor dan sumber pendapatan kerana kami melihat kemampanan lebih besar yang akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan pada masa hadapan,” ujar beliau.
Pada waktu penulisan, saham HSS Engineers kekal pada 54 sen, menilai pasaran modalnya pada RM267.8 juta. - DagangNews.com








