HSS Engineers jalin kerjasama kali kedua dengan firma kejuruteraan Jepun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSS Engineers jalin kerjasama kali kedua dengan firma kejuruteraan Jepun

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Sept - HSS Engineers Bhd. menjalin kerjasama buat kali kedua dengan firma perunding kejuruteraan Jepun, apabila anak syarikatnya HSS Engineering Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Yachiyo Engineering Co., Ltd. (YEC).

 

Di bawah kerjasama itu, HSS dan YEC akan menjadi Rakan Kongsi Pilihan untuk projek di seluruh ASEAN, India dan mana-mana negara, dengan keutamaan diberikan kepada bidang termasuk pengurusan sumber dan bekalan air serta pengurusan risiko bencana termasuk tebatan banjir.

 

Selain itu, ia juga termasuklah projek jalan raya dan pengangkutan, pengurusan persekitaran bandar (termasuk pengurusan sisa pepejal dan kumbahan, bandar pintar, infrastruktur ICT (termasuk pusat data) dan tenaga boleh diperbaharui.

 

MoU itu merupakan kerjasama kedua HSS dengan firma perunding kejuruteraan Jepun, selepas menandatangani MoU serupa dengan Oriental Consultants Global Co Ltd (OC Global) pada Julai lalu.

 

Pengerusi HSS Engineers, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, kerjasama itu membolehkan HSS bekerjasama dengan pemain industri yang hebat untuk membawa kepakaran kejuruteraannya ke peringkat global, dengan tumpuan kepada rantau ASEAN, India dan negara membangun yang lain.

 

Katanya, HSS juga akan terlibat dengan lebih banyak dalam pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur utama yang dibiayai oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

 

"Secara keseluruhan, kami membayangkan kerjasama yang setia dan kukuh dengan YEC di samping kami berusaha ke arah memajukan pembangunan negara dan wilayah bersama-sama dan membawa perubahan sosio-ekonomi yang positif melalui sumber yang dikongsi bersama," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ditubuhkan pada 1963, YEC menyediakan perkhidmatan daripada perancangan dan kajian kebolehlaksanaan melalui reka bentuk awal dan terperinci kepada penyeliaan pembinaan, latihan operasi dan perkhidmatan perolehan di 110 negara di seluruh dunia.

 

Disokong lebih 860 tenaga kerja termasuk jurutera profesional, arkitek, perancang, ahli ekonomi dan pakar, YEC kini mengekalkan pejabat di luar negara, termasuk di Indonesia, Malaysia, India, Mesir, Brazil dan Oman. - DagangNews.com