KUALA LUMPUR 29 Mei - Honda Malaysia meningkatkan pendapatan DRB-Hicom Berhad dengan pengeluaran model paling laris, HR-V, dan Honda WR-V yang bakal dilancarkan menjelang suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23).
Kenanga Research telah menaikkan unjuran keuntungan bersih DRB-Hicom bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 7% dan 9%, untuk mengambil kira sumbangan lebih kukuh daripada Honda Malaysia, dipacu oleh pengeluaran HR-V yang paling laris dan pengeluaran model baharu, Honda WR-V yang menyasarkan segmen SUV kecil.
“Kami meningkatkan andaian jualan Honda [bagi FY23] kepada 80,000 unit daripada 75,000 unit sebelum ini, bersamaan panduan Honda Malaysia dan kepada 85,000 unit daripada 78,000 unit untuk FY24.
“Tiada perubahan kepada andaian jualan Proton sebanyak 140,000 unit untuk FY23 dan 142,000 unit untuk FY24,” tambahnya dalam nota hari ini.
Oleh itu, firma itu meningkatkan harga sasaran (TP) kepada RM1.45 sesaham daripada RM1.40 namun mengekalkan saranan ‘market perform’.
Mengulas mengenai keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), Kenanga Research berkata pendapatan DRB-Hicom mengatasi jangkaan tahun penuh firma dan konsensus masing-masing pada 37% dan 33%.
Firma itu berkata varians utama terhadap ramalannya adalah berikutan prestasi yang lebih baik daripada syarikat bersekutunya, Honda Malaysia yang telah mencatat peningkatan keuntungan sebanyak 132% tahun ke tahun (YoY) kepada RM78 juta walaupun unit jualan berkurang 14% YoY dengan jumlah 17,507 unit.
Selain itu, pendapatan kumpulan turut didorong oleh jualan kukuh kenderaan Proton, Mitsubishi dan Isuzu.
Menurut firma itu, DRB-Hicom disukainya memandangkan kumpulan itu merupakan syarikat kedua terbesar dalam sektor automotif tempatan selepas Perodua, dengan bahagian pasaran kira-kira 30%.
Di samping itu, kumpulan itu mempunyai francais Proton dan Honda yang kukuh serta francaise perbankan yang semakin baik di bawah Bank Muamalat.
Bagaimanapun, firma itu berkata prospek kumpulan telah menjadi lemah berikutan saingan sengit dengan Perodua berikutan pelancaran baharu yang agresif.
Setakat pukul 4:10 petang hari ini, saham DRB-Hicom telah menokok 3 sen atau 2.2% kepada RM1.38 sesaham, memberinya permodalan pasaran sebanyak RM2.7 bilion. -DagangNews.com








