KUALA LUMPUR 29 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Westports Holdings Bhd. dengan harga sasaran lebih rendah pada RM3.75 daripada RM4.27 sesaham sebelum ini.
Menurut firma itu, pengendali pelabuhan itu yang merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras pada suku kedua sebanyak RM167.1 juta menjadikan jumlah pada separuh pertama sebanyak RM332.1 juta, adalah memenuhi unjuran firma dan konsensus, masing-masing pada 48% dan 51%.
Bagaimanapun, ia menyemak semula unjuran hasil Westports bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 lebih rendah antara 4% hingga 8%.
Katanya, ini berikutan anggaran pertumbuhan TEU yang lebih rendah dan kos bahan api yang lebih tinggi.
“Pelarasan itu adalah untuk mengambil kira penggunaan yang lebih lemah disebabkan inflasi, serta peningkatan kos bahan api," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Persekitaran mencabar jejaskan untung bersih Westports, susut 8.8% kepada RM162 juta
Westports Holdings Bhd. merekodkan untung bersih yang lebih rendah pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 sebanyak RM162.29 juta, susut 8.81% berbanding RM177.97 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, pendapatan pada tempoh berkenaan meningkat 1.17% kepada RM510.98 juta daripada RM505.07 juta, berikutan hasil kontena yang lebih tinggi.
Susulan itu, untung bersih Westports bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 susut 18.68% kepada RM314.15 juta, daripada RM386.29 juta, terjejas akibat Cukai Makmur dan ketiadaan pembayaran balik insurans RM20 juta tahun lalu.
Setakat 9.11 pagi, harga saham Westports kekal tidak berubah pada RM3.49 sesaham. - DagangNews.com








