HLIB positif dengan langkah CTOS Digital tambah pegangan dalam RAM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB positif dengan langkah CTOS Digital tambah pegangan dalam RAM

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap cadangan CTOS Digital Bhd. untuk meningkatkan pegangannya dalam RAM Holdings Bhd. kepada kira-kira 39.1% dengan memperoleh 19.9% kepentingan ekuiti dalam penyedia perkhidmatan penarafan kredit pada harga RM51.3 juta.

 

Menurut firma itu, langkah itu adalah sejajar dengan perikatan pelaburan sebelum ini di mata 19.9% kepentingan Oscar Matrix akan berharga pada diskaun 10% berbanding tawaran kepada baki pemegang saham RAM.

 

Ini memandangkan idea dan tujuannya adalah untuk mengekalkan keyakinan pelabur, kerana ia adalah urus niaga pihak berkaitan.

 

"Kami berpendapat, urus niaga ini adalah menarik, memandangkan RAM berharga 18.4 kali harga perusahaan (P/E), diskaun 23% kepada purata agensi penarafan kredit global tersenarai lain sebanyak 23.9 kali. 

 

"Selain itu, ia merupakan pemerolehan akretif (melihat pada penilaian CTOS Digital yang lebih tinggi sebanyak 37.9 kali) walaupun dibiayai oleh pinjaman (dengan mengandaikan kos hutang sebanyak 4%)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Selain itu, CTOS Digital juga bercadang untuk membeli sehingga 30.9% lagi pegangan dalam RAM Holdings pada harga tidak lebih daripada RM28.50 sesaham, atau sehingga RM88 juta secara tunai.

 

Pembelian tambahan itu akan dibuat lebih 12 bulan selepas mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan bagi tujuan itu.

 

Apabila cadangan itu selesai, CTOS Digital mungkin memegang sehingga 7 juta saham RAM, yang mewakili 70% dalam kepentingan ekuiti.

 

Pada Jumaat lalu, syarikat laporan kredit itu menandatangani perjanjian pembelian saham bersyarat untuk membeli 19.9% kepentingan daripada Oscar Matrix Sdn. Bhd.

 

Menurut HLIB, berdasarkan pegangan 39.1% (19.2% sedia ada dan 19.9% daripada Oscar Matrix) beserta kos hutang 4%, pengambilalihan itu dijangka menambah kira-kira 4 hingga 5% kepada hasil CTOS Digital bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY23.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap CTOS Digital pada harga sasaran RM1.70 sesaham. 

 

Setakat 11.50 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.83% kepada RM1.21 dengan 1.11 juta saham diniagakan. - DagangNews.com