KUALA LUMPUR 30 Ogos - Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) dijangka terus mendapat manfaat daripada pemulihan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhannya yang lebih kukuh bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) dan FY24.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, kenaikan harga jualan purata (ASP) produk SilTerra, penghantaran wafer dan pelan pengembangan SilTerra dengan tambahan kapasiti 10% dijangka selesai pada 2023 akan mengukuhkan lagi prestasi kewangan DNeX.
Katanya, berdasarkan kepada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras pada FY22 sebanyak RM201.2 juta, ia melepasi jangkaan firma pada 108% manakala 107% konsensus berikutan ASP wafer SilTerra dan margin keuntungan yang lebih tinggi.
"Oleh itu, kami menaikkan unjuran untung bersih bagi FY23 hingga FY24 masing-masing sebanyak 5% dan 4% dengan mengambil kira ASP wafer SilTerra dan anggaran margin keuntungan bagi unit tersebut," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : DNeX akhiri FY22 dengan cemerlang, catat untung RM707.3 juta dipacu transformasi SilTerra
DNeX mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM707.3 juta bagi FY22 manakala pendapatan berjumlah RM1.44 bilion.
Segmen teknologi menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan pada tempoh berkenaan RM857.7 juta (merangkumi 60% daripada pendapatan) diikuti segmen tenaga melalui Ping Petroleum Limited (RM379.6 juta) dan segmen teknologi maklumat (RM199.9 juta).
Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, usaha transformasi di SilTerra telah membawa kepada pemulihan kukuh dalam prestasi kewangan kumpulan, disokong ASP yang lebih tinggi dan peningkatan operasi direkodkan dari segi pengeluaran, kawalan kualiti dan kecekapan pembuatan.
Selain SilTerra, HLIB berkata, kenaikan harga minyak mentah dan pengeluaran Ping Petroleum yang semakin meningkat juga akan memacau pertumbuhan DNeX seterusnya.
Dalam tempoh sederhana, katanya, kumpulan akan mendapat manfaat daripada medan baharu Avalon pada pertengahan 2025 (FY26), berpotensi menggandakan pengeluaran semasa Ping Petroleum serta memorandum persefahaman dengan Foxconn untuk membangunkan fabrikasi wafer 12 inci baharu bagi menyokong pembabitannya dalam kenderaan elektrik.
"Kami juga teruja dan yakin mengenai prospek pertumbuhan DNeX yang cemerlang pada tahun-tahun akan datang.
"Pada masa sama, kami juga percaya saham DNeX adalah menarik dengan mengambil kira kedudukan kukuhnya dalam ruang semikonduktor dan tenaga," katanya.
Ini mendorong HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap DNeX dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.74 daripada RM1.69 sesaham.
Setakat 10.34 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 85 sen dengan 37.07 juta saham diniagakan. -DagangNews.com








