KUALA LUMPUR 9 Mei - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memulakan liputan terhadap Hibiscus Petroleum Bhd. pada harga sasaran (TP) RM1.85 sesaham dengan saranan 'beli'.
Penilaian itu berdasarkan NPV bagi semua aliran tunai masa hadapan (FCF) aset pengeluarnya, berdasarkan jangka hayat sasaran setiap aset.
Firma itu menjangkakan untung bersih teras Hibiscus akan meningkat lebih daripada 3 kali ganda kepada RM336.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) dan seterusnya meningkat 86% kepada RM625.6 juta bagi FY23.
Katanya, peningkatan itu mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 146%.
"Purata andaian harga minyak mentah kami yang direalisasikan untuk kumpulan secara relatifnya adalah konservatif pada AS$90 setong untuk FY22 dan FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.
Hibiscus ialah syarikat penerokaan dan pengeluaran (E&P) minyak dan gas persendirian yang pertama disenaraikan di negara ini.
Kumpulan memegang kepentingan kendalian dalam pelbagai konsesi di United Kingdom (UK) dan Australia dan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di Malaysia.
Portfolio kumpulan yang seimbang terdiri daripada aset pengeluaran, pembangunan dan penerokaan.
Menurut HLIB, pengambilalihan FIPC (Repsol) akan meningkatkan pengeluaran kepada hampir 3 kali ganda pada FY22 hingga FY23.
Firma itu mendapati unjuran pengeluaran bagi aset Anasuria dan Sabah Utara bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 7,800 dan 8,800 tong sehari.
"Bagaimanapun, aset FIPC akan menambah sehingga 14,300 dan 14,600 tong sehari bagi FY22 dan FY23, sekali gus meningkatkan pengeluaran hampir 3 kali ganda masing-masing kepada 22,100 dan 23,400 tong sehari.
"Memandangkan pengambilalihan FIPC hanya selesai pada 25 Januari 2022, kami hanya dapat melihat sumbangan aset ini kepada Hibiscus ketika laporan kewangan suku ketiga FY22 yang akan datang dan seterusnya," katanya.
Setakat 9.30 pagi ini, harga saham Hibiscus susut 1 sen atau 0.71% kepada RM1.39 dengan 9.01 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








