HLIB kekal unjuran KDNK 2022 pada 5.5%, naikkan sasaran KLCI kepada 1,680 mata | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB kekal unjuran KDNK 2022 pada 5.5%, naikkan sasaran KLCI kepada 1,680 mata

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Mac - Di sebalik konflik Rusia-Ukraine, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.5% tahun ini. 

 

Firma itu percaya Malaysia terlindung daripada kesan langsung krisis tersebut yang tercetus sejak 24 Februari lalu meskipun ia menyebabkan pertumbuhan global yang lebih rendah tahun ini seperti diunjur Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

 

Ini memandangkan dagangan dengan Rusia dan Ukraine hanya merangkumi 0.4 hingga 0.5% sahaja dan kedudukan sebagai pengeksport komoditi.

 

"Kami menganggarkan akaun semasa Malaysia akan meningkat sebanyak 0.62% dan 0.16% daripada KDNK bagi setiap kenaikan AS$10 setong harga minyak mentah Brent dan kenaikan RM100 satu tan metrik bagi harga minyak sawit mentah.

 

"Namun begitu, kenaikan harga komoditi akan menyebabkan inflasi yang lebih tinggi, walaupun sebahagiannya diatasi dengan harga siling bahan api, justeru, kami menaikkan unjuran indeks harga pengguna (IHP) tahun ini kepada 2.7% berbanding 2% sebelum ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut firma itu, walaupun pasaran dijangka bergelora, tetapi konflik Rusia-Ukraine secara dasarnya memberi Malaysia tarikan di mata pelabur asing. 

 

Katanya, ini disebabkan pendirian geopolitik yang neutral, ekonomi yang agak terlindung berbanding negara-negara barat dan pendedahan kepada komoditi.

 

"Ini dapat dilihat apabila aliran masuk asing dalam bursa tempatan berjumlah RM4.23 bilion sejak konflik itu bermula, mengatasi keseluruhan aliran keluar tahun lalu sebanyak RM2.99 bilion. 

 

"Malah, kami juga kekal positif kepada saham yang mendapat manfaat daripada harga komoditi lebih tinggi, iaitu perladangan, minyak dan gas (Dagang NeXchange Bhd. merupakan pilihan kami bagi pendedahan huluan) dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd. serta mengurangkan kelemahan sektor utiliti dan teknologi," jelasnya. 

 

HLIB juga berpendapat, bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) turut menyuntik sentimen dalam pasaran tempatan, justeru, ia akan menyaksikan nilai purata dagangan harian (ADTV) yang lebih positif kepada Bursa Malaysia Bhd.

 

Ini membolehkan firma itu menaikkan unjuran KLCI tahun ini kepada 1,680 mata berbanding 1,600 mata sebelum ini.

 

"Dengan pembukaan semula ekonomi ke arah fasa endemik, tarikan Malaysia di tengah-tengah konflik geopolitik dan kemungkinan PRU-15, kami menjadi lebih optimis terhadap pasaran. 

 

"Walaupun tekanan inflasi tolakan kos merupakan risiko utama, kami berpendapat kerajaan akan cuba menangani perkara ini ketika pilihan raya semakin hampir," katanya. 

 

Ia turut mengekalkan unjuran kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada suku keempat 2022. - DagangNews.com