Hisham Hamdan dilantik sebagai Pengerusi, Amran Hafiz selaku Pengarah Urusan baharu UEM Group berkuat kuasa 1 Ogos 2024 | DagangNews Skip to main content

Hisham Hamdan dilantik sebagai Pengerusi, Amran Hafiz selaku Pengarah Urusan baharu UEM Group berkuat kuasa 1 Ogos 2024

Datuk Hisham Hamdan
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - UEM Group Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd  mengumumkan pelantikan Datuk Hisham Hamdan sebagai Pengerusi dan Datuk Amran Hafiz Affifudin selaku Pengarah Urusan, berkuatkuasa 1 Ogos 2024.

 

Perubahan kepimpinan di dalam kumpulan itu adalah susulan peletakan jawatan Datuk Mohd Izani Ghani selaku Pengarah Urusan pada 31 Julai 2024 setelah berkhidmat selama lima tahun sejak 2019. 

 

Hisham yang merupakan pemegang dwi-ijazah dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Pengurusan Industri dari Purdue University, Amerika Syarikat dan telah menamatkan Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School menyertai Khazanah pada April 2011.

 

Beliau kini merupakan Ketua Pegawai Pelaburannya dan bertanggungjawab untuk menguruskan serta mengembangkan portfolio Khazanah merangkumi pelbagai mandat dan aset. 

 

Dengan pengalaman lebih 30 tahun meliputi pelbagai struktur korporat (portfolio, konglomerat dan unit perniagaan), beliau juga berkhidmat selaku Pengerusi UEM Sunrise Berhad dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Khazanah Research Institute (KRI).

 

uem
Datuk Amran Hafiz Affifudin

 

Sejak 2018, beliau telah berkhidmat selaku Ketua Pasaran Awam di Khazanah, yang mempunyai mandat untuk melabur di lebih daripada 10 negara di seluruh dunia termasuklah pasaran maju dan pasaran berkembang, dipandu oleh strategi pelaburan sistematik dan quantamental. 

 

Sebelum menerajui Pasaran Awam, beliau bertanggungjawab bagi portfolio Khazanah dalam bidang automotif, agrimakanan dan Iskandar Malaysia serta berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif, Penyelidikan. Di samping itu, beliau juga pernah berkhidmat selaku Pengerusi UDA  Holdings Bhd dan Ahli Lembaga Pengarah Iskandar Investment Bhd.
 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pelantikan Hisham selaku Pengerusi menghantar isyarat jelas berhubung peranan penting UEM Group bagi Khazanah dalam menjayakan strategi memajukan Malaysia. 

 

"Sebagai Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah dan Pengerusi UEM Group, beliau akan memastikan koordinasi yang lebih tersusun antara kedua-dua organisasi ini. Berbekalkan pengalaman luas dan rekod kepimpinan, beliau akan menerajui Lembaga Pengarah dan membimbing Pengurusan UEM Group dalam mencapai sasaran strategik dan kewangan yang telah digariskan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 

 

Sebelum pelantikan itu, Amran merupakan Pengerusi UEM Group dan telah berkhidmat selaku Pengarah Eksekutif, Ketua Pelaburan Malaysia di Khazanah. 

 

Beliau memiliki pengalaman lebih 27 tahun dan bertanggungjawab bagi pelaburan Khazanah merentasi pelbagai sektor termasuklah tenaga, riadah & pelancongan, infrastruktur, kuasa, agrimakanan, Indonesia dan pembangunan lestari.

 

Kerjaya beliau bermula pada 1997 dengan Petronas dalam bidang kewangan korporat dan perbendaharaan. Beliau kemudiannya beralih ke industri ekuiti swasta sebelum menyertai Khazanah pada 2011. 

 

"Selaku Pengarah Urusan sayap infrastruktur Khazanah, beliau akan menerajui agenda pelaburan tempatan Khazanah dalam bidang infrastruktur. 

 

"Beliau juga akan memacu pertumbuhan dan meluaskan operasi UEM Group dalam bidang seperti tenaga boleh baharu, selari dengan tumpuan Khazanah untuk mempercepatkan dekarbonisasi di bandar dan taman industri, di samping memperkasakan pelaksanaan inisiatif penciptaan nilai dalam kalangan anak-anak syarikat UEM Group," kata Amirul Feisal. - DagangNews.com