Hibiscus lanjut kemudahan prabayaran dengan Trafigura sehingga 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hibiscus lanjut kemudahan prabayaran dengan Trafigura sehingga 2023

 

 


KUALA LUMPUR 9 Nov - Hibiscus Petroleum Bhd. menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, SEA Hibiscus Sdn. Bhd. melaksanakan pindaan dan penyata semula perjanjian dengan syarikat perdagangan komoditi, Trafigura Pte Ltd. mengenai perjanjian prabayaran sehingga AS$80 juta yang pada asalnya bertarikh 8 Oktober 2018.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, syarikat minyak dan gas itu berkata, perjanjian bagi kemudahan prabayaran sedia ada Trafigura dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023.

 

"Tertakluk kepada terma yang dipersetujui, kemudahan prabayaran ini menyediakan SEA Hibiscus sehingga AS$80 juta untuk membiayai keperluan modal kerja am, peruntukan modal dan tujuan am korporat termasuk dari segi yuran, kos dan perbelanjaan yang ditanggung berhubung kemudahan prabayaran ini," katanya. 

 

Menurutnya, Hibiscus Petroleum Group dan Trafigura akan terus mempunyai rangka kerja untuk potensi pengambilan minyak mentah pada masa depan oleh Trafigura daripada aset yang dimiliki/projek yang dijalankan oleh Hibiscus Petroleum Group.

 

Trafigura merupakan antara syarikat perdagangan komoditi fizikal bebas terkemuka di dunia, dan terlibat dalam penyumberan, penyimpanan, pengangkutan dan penghantaran pelbagai bahan mentah termasuk minyak mentah dan produk ditapis.

 

Pada awal Mei 2020, Hibiscus mengaktifkan pelan tindakan aset dan mewujudkan rangka kerja kerjasama dengan Trafigura untuk memastikan kesinambungan perniagaan Hibiscus ketika syarikat itu mengurangkan kesan pandemik COVID-19 ke atas sektor minyak dan gas. - DagangNews.com