KUALA LUMPUR 18 Ogos - Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) hari ini menerima anugerah syarikat terbaik tahunan bagi kategori “Inisiatif Pemegang Taruh dan Keterlibatan Kelestarian Komuniti” pada Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2022.
Anugerah itu adalah selepas naik taraf rating 4 bintang bagi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang diterima sebagai sebahagian daripada Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBMI) pada penilaian Jun 2022 FTSE Russell.
Anugerah tersebut dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid yang diwakili Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.
Beberapa pencalonan diterima bagi pelbagai kategori dengan penerima anugerah diadili barisan juri terhormat daripada media dan Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kelestarian dan Korporat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd., Johari Shukri Jamil berkata, mereka menzahirkan penghargaan kepada panel juri atas anugerah dan pengiktirafan kepada usaha pihaknya serta melihatnya sebagai suatu galakan untuk terus melakukan yang lebih baik.
Beliau berkata, Asset Under Management, Hektar REIT terdiri daripada lima pusat beli-belah berfokuskan kejiranan dan satu pusat beli-belah wilayah, yang memainkan peranan utama bagi memberi perkhidmatan kepada pelbagai pemegang taruh seperti pembeli, penyewa, pekerja dan komuniti di sekitar kawasan berkenaan.
"Semasa pandemik, pusat beli-belah kami mematuhi sepenuhnya arahan kerajaan bagi menyediakan persekitaran beli-belah yang selamat kepada semua dengan melaksanakan protokol keselamatan dan kebersihan yang ketat.

"Inisiatif CSR amat dekat di hati kami dan berharap untuk terus melibatkan komuniti dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi golongan tidak bernasib baik atau lemah terutamanya yang terkesan dengan pandemik, memandangkan kami di Hektar memahami serta percaya bahawa kami bertanggungjawab meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
“Rating ESG terbaru kami di F4GBMI menunjukkan bahawa kelestarian dan CSR sudah menjadi sebahagian daripada budaya korporat kami. Rangka kerja kelestarian kami yang dibangunkan pada 2017, terus berkembang mengikut undang-undang dan juga kepentingan sosial dan alam sekitar yang lebih luas," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mereka telah banyak belajar, terutamanya ketika pandemik, untuk menjadi lebih berdaya tahan dan lestari di samping bertindak kepada betapa pentingnya mengurangkan jejak alam sekitar serta meningkatkan tanggungjawab kepada pemegang taruh. - DagangNews.com








