Hartalega dijangka rugi Q4, penganalisis semak turun penarafan dan TP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hartalega dijangka rugi Q4, penganalisis semak turun penarafan dan TP

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Feb - Firma-firma penyelidikan menyemak turun penarafan saham Hartalega Holdings Bhd. dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah susulan laporan kewangan bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2021 yang kurang memberangsangkan. 

 

Untung bersihnya bagi tempoh itu merosot sehingga 74.14% kepada RM259.06 juta daripada RM1.002 bilion bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan juga susut 52.8% kepada RM1.005 bilion daripada RM2.13 bilion. 

 

Ini menyaksikan CGS-CIMB menyemak turun penarafan Hartalega kepada 'pegang' berbanding 'tambah' sebelum itu dengan TP lebih rendah pada RM5.80 daripada RM6.40. 

 

MIDF Research turut menurunkan penarafannya kepada 'neutral' berbanding 'beli' dengan TP lebih rendah pada RM5.80 berbanding RM8.03.

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisis CGS-CIMB, Walter Aw menjangkakan Hartalega akan mencatat kerugian pada suku keempat berakhir 31 Mac 2022 (Q4FY22) disebabkan harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah dan impak sebanyak RM375 juta daripada cukai keuntungan atau dikenali Cukai Makmur.

 

"Walaupun kami menyukai Hartalega kerana menerajui teknologi pembuatan dalam nitril berbanding pemain industri lain dan kedudukan tunai yang kukuh serta margin lebih tinggi, tetapi prospek pendapatannya kekal lemah dalam tempoh terdekat dengan potensi kenaikan yang terhad," katanya.

 

Hasil yang lebih rendah direkodkan Hartalega ini disebabkan penurunan ASP dan jumlah jualan kerana permintaan jualan yang lebih rendah dan peningkatan bekalan daripada pengeluar sarung tangan getah utama dan baharu.

 

Baca : Untung bersih Q3 Hartalega susut 74% kepada RM259.06 juta, disebabkan penurunan ASP

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Disember 2021, untung bersih kumpulan meningkat 93.79% kepada RM3.43 bilion daripada RM1.77 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan juga meningkat 57.4% kepada RM6.92 bilion berbanding RM4.4 bilion.

 

Untuk perbandingan suku ke suku, pendapatan menyusut sebanyak 50% daripada tempoh sama bagi suku sebelumnya memandangkan ASP pada suku semasa merosot 44% disebabkan peningkatan bekalan daripada pengeluar sarung tangan getah baharu dan utama.

 

Menurut Aw, ASP Hartalega dijangka menurun pada suku pertama 2022 sekitar AS$24 hingga AS$25 per 1,000 keping. 

 

Katanya, walaupun pembeli sarung tangan getah pada masa ini berhati-hati dalam mengisi semula inventori mereka kerana dinamik industri terus diterajui bekalan, tetapi keadaan dijangka bertambah baik apabila ASP berada di bawah peningkatan dalam dinamik bekalan-permintaan industri (pelan pengembangan yang lebih perlahan oleh semua pembuat sarung tangan). 

 

"Dari sudut positif, Hartalega menjangkakan peningkatan secara berperingkat dalam tempahan mulai suku keempat dan seterusnya, didorong permintaan yang meningkat daripada pelanggan di pasaran membangun," jelasnya.

 

Dalam pada itu, MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22), sebaliknya menyemak turun pendapatan bagi FY23 sebanyak 16.3% kepada RM956 juta. 

 

Katanya, kumpulan sebelum ini telah memberi panduan bahawa pelarasan cukai keuntungan akan memberi impak kepada pendapatan pada suku seterusnya. 

 

"Bagaimanapun, kerugian ini dijangka dapat dikurangkan menerusi ASP sarung tangan nitril yang stabil beberapa bulan akan datang. 

 

"Kami menyemak semula anggaran FY23 setelah mengambil kira kos pematuhan sosial yang lebih tinggi dan kadar tukaran bagi kos bahan mentah," jelasnya.

 

Pada masa sama, firma itu juga bimbang mengenai amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kumpulan, sama ada ia akan menerima perintah tahan pelepasan (WRO) seperti pesaingnya yang lain. 

 

"Dalam hal ini, kumpulan telah memaklumkan, ia sudah pun berhubung dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) sejak Oktober 2020, justeru, risiko untuk sekatan terhadap import produknya adalah rendah," tambahnya.

 

Setakat 10.23 pagi ini, harga saham Hartalega susut 33 sen atau 5.92% kepada RM5.24 dengan 5.68 juta saham diniagakan. - DagangNews.com