KUALA LUMPUR 6 Okt - RHB Investment Bank (RHB Investment) menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) bergerak kukuh melepasi RM4,000 setan pada 2024 sebaik sahaja kesan El Nino menjejas produktiviti, sementara mengekalkan andaian harganya pada RM3,900 setan untuk 2023 hingga 2024.
Firma penyelidikan itu kekal ‘neutral’ terhadap sektor perladangan di rantau ini, di mana ia tidak menjangkakan harga MSM melepasi paras RM4,000 tan sehingga akhir tahun ini.
“Bagaimanapun, pada 2024, kami menjangkakan harga MSM berjulat lebih tinggi daripada paras semasa kepada RM4,000 hingga RM4,500 setan, sebaik sahaja kesan El Nino mula menjejas produktiviti pada separuh kedua 2024," jelas firma itu dalam nota penyelidikannya.
Firma penyelidikan itu berkata pelabur harus menggunakan strategi dagangan yang positif dari segi taktikal, berdasarkan El Nino dan potensi peningkatan risiko geopolitik berkaitan perang Rusia-Ukraine dan koridor bijirin.
Menurut firma itu, andaian asasnya adalah El Nino sederhana dan penyelesaian untuk isu koridor bijirin sebelum akhir Oktober, iaitu apabila tempoh penuaian untuk tanaman bunga matahari Rusia dan Ukraine berakhir.
"Kami mengandaikan bahawa Rusia dan Ukraine akan dapat mencari jalan untuk mengeksport bijirin dan produk biji minyak mereka walaupun tanpa koridor bijirin. Sekiranya kedua-dua andaian ini terbukti salah, kami perlu melihat semula andaian harga kami," tambahnya.
RHB Investment menekankan kepercayaannya bahawa harga MSM lebih tinggi pada 2024, yang bermakna penanam tulen dilihat lebih positif daripada pemain bersepadu, memandangkan pemain bersepadu lebih sensitif terhadap pergerakan harga.
Bagaimanapun, katanya, pemain bersepadu akan menyediakan asas pendapatan yang lebih stabil dan pulangan dividen konsisten.
"Selain itu, kami menekankan bahawa tidak semua pemain tulen cenderung mendapat manfaat yang sama dari segi pendapatan, memandangkan struktur cukai Indonesia yang akan menyebabkan penanam tulen Malaysia lebih menarik berbanding penanam tulen Indonesia.
“Oleh itu, untuk pendedahan Indonesia, kami lebih suka pemain bersepadu, kerana mereka mendapat manfaat daripada struktur cukai Indonesia dalam bentuk margin yang lebih tinggi.
"Dengan prospek positif taktikal semasa kami, pilihan utama kami tidak berubah, iaitu penanam tulen Malaysia seperti Ta Ann (harga sasaran [TP]: RM4.10) dan Sarawak Oil Palms (TP: RM2.85), serta pemain bersepadu seperti IOI Corp (TP: RM4.55) dan Golden Agri (TP: S$0.28)," katanya. - DagangNews.com








