KUALA LUMPUR 11 Jan - PublicInvest Research mengunjurkan harga minyak sawit mentah tahun ini berlegar pada harga RM3,800 metrik tan, turun 25% tahun atas tahun (YoY) berikutan peningkatan bekalan ekoran kembalinya secara beransur-ansur pekerja asing ke ladang kelapa sawit.
Firma penyelidikan tersebut mengekalkan pandangan `Neutral' terhadap sektor ini dengan pilihan utamanya ialah saham Sarawak Plantation dan Ta Ann.
"Berdasarkan andaian harga MSM kami sebanyak RM3,800/mt, kami menyaksikan penurunan sehingga 43% dalam pendapatan perladangan," kata PublicInvest Research.
Keputusan separuh pertama 2023 dijangka agak lemah memandangkan
1) proses pengambilan pekerja yang perlahan,
2) kos pengeluaran yang tinggi disebabkan oleh penurunan mendadak dalam kredit isirong sawit dan
3) harga jualan MSM yang lebih lemah.
Bagi 2022, eksport minyak sawit menyaksikan pertumbuhan kecil 1% hingga 15.7m mt, walaupun menyaksikan eksport yang lebih lemah ke China (-4%), India (-19.3%), Pakistan (-15%) dan AS (-20%) , diimbangi oleh permintaan yang lebih kukuh daripada EU (+15%).
India kekal sebagai pengimport utama minyak sawit, menyumbang 18%, diikuti oleh EU (11.9%) dan China (11.4%).
Stok minyak sawit Malaysia berakhir pada 2022 pada 2.19m mt, paras tertinggi sejak 2017 kerana kedua-dua pengeluaran MSM dan eksport MSM menyaksikan sedikit peningkatant.
Sementara itu, prestasi harga MSM adalah naik roller coaster kerana ia melonjak setinggi RM8,000/mt pada Mac 2022 sebelum merosot ke paras semasa RM4,100/mt.
"Untuk setahun penuh, ia berpurata pada paras rekod RM5,126/mt, yang lebih tinggi sedikit daripada andaian harga MSM kami sebanyak RM5,000/mt," kata firma itu lagi.
Biji minyak global dijangka meningkat sebanyak 7% YoY, diterajui oleh bekalan besar dari Brazil dan Argentina hasil penanaman yang baik dan cuaca yang menggalakkan.
Sementara itu, pengeluaran minyak sawit Malaysia diramalkan meningkat kepada 19m mt tahun ini, disumbangkan oleh peningkatan dalam produktiviti terutamanya di Semenanjung Malaysia apabila isu kekurangan pekerja mula reda. - DagangNews.com








