Harga borong Internet lebih rendah dijangka jejas pendapatan TM – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga borong Internet lebih rendah dijangka jejas pendapatan TM – PublicInvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept - Penurunan harga borong Internet mengikut standard mandatori mengenai harga capaian (MSAP) dijangka memberi kesan negatif terhadap pendapatan Telekom Malaysia Bhd (TM) memandangkan ia merupakan rangkaian utama pembekal dalam negara, kata Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata kesan tersebut bergantung kepada perjanjiannya dengan syarikat telekomunikasi yang memajak infrastruktur daripada TM dan perjanjian ini adalah berdasarkan kontrak komersial yang mungkin berbeza daripada peringkat MSAP.

 

“Pada pendapat kami, TM boleh mencatatkan keuntungan yang lebih rendah pada peringkat awal pelaksanaan tetapi pendapatan boleh melantun semula disebabkan pelbagai langkah pengoptimuman kos yang dilaksanakan.

 

“Di samping itu, kami menjangkakan permintaan meningkat untuk pusat data, serta lebih banyak penawaran perkhidmatan nilai tambah akan meminimumkan kesan harga borong yang lebih rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

PublicInvest berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dijangka mengakhiri perbincangannya dengan penyedia perkhidmatan jalur lebar borong, menyebabkan harga internet jalur lebar menyaksikan kejatuhan yang ketara selepas September 2023, menurut Menteri Komunikasi dan Digital.

 

Firma itu berkata laporan kewangan TM pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) yang akan datang mungkin tidak akan menyaksikan sebarang kesan ketara yang timbul daripada MSAP, walaupun kumpulan tersebut masih boleh membuat peruntukan penurunan semula harga kadar borong.

 

Sementara itu, TM One sepatutnya terus memberikan prestasi lebih lemah berikutan penurunan harga kontrak yang besar tetapi ini mungkin dapat dikurangkan dengan pengiktirafan kerugian cukai, yang akan ditolak daripada keuntungan.

 

 

"Dalam ramalan terkini, kami telah mengambil kira harga internet yang lebih rendah, tetapi kami menjangkakan kesan ke atas pendapatan kumpulan berkurangan disebabkan pengiktirafan kredit cukai pada FY23-24 dan sumbangan TM Global yang lebih tinggi.

 

"Kami mengunjurkan pendapatan FY23 jatuh sebanyak 4% manakala FY24 kekal tidak berubah. Namun begitu, kami tidak menolak risiko penurunan selanjutnya sekiranya kadar borong lebih rendah daripada jangkaan,” katanya sambil menambah tiada sebarang perubahan dibuat pada unjuran pendapatan ketika ini.

 

Firma itu berkata saranan ‘outperform’ terhadap saham TM adalah berdasarkan kedudukan utama kumpulan sebagai penyedia infrastruktur rangkaian negara, yang mendapat manfaat daripada penggunaan rangkaian 5G dan pertumbuhan permintaan untuk pusat data berskala besar.

 

PublicInvest mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM6.20 sesaham.

 

Pada pukul 3:41 petang ini, saham TM didagang rendah 6 sen atau 1.2% pada RM4.91 dengan permodalan pasaran sebanyak RM18.8 bilion. - DagangNews.com