Harga besi susut antara 0.1% dan 4% pada September 2023 – DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga besi susut antara 0.1% dan 4% pada September 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan antara 0.1% dan 4% pada September 2023 bagi hampir semua kawasan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks harga seunit keratan keluli dan logam pula kekal tidak berubah bagi hampir kesemua kawasan berbanding bulan lepas kecuali sedikit penurunan dicatatkan di Perak (0.5%), Pahang (0.6%) dan Kota Kinabalu (0.8%).

 

Sementara itu, indeks harga seunit simen bagi kebanyakan kawasan pula kekal tidak berubah berbanding Ogos 2023, namun begitu sedikit peningkatan dicatatkan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (0.5%), Terengganu dan Kelantan (0.3%), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.2%), manakala harga simen di Kota Kinabalu menurun 1%.

 

“Papan lapis telah merekodkan peningkatan harga iaitu 3.6% bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, manakala harga kekal tidak berubah bagi semua kawasan di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (gambar ihsan FB DOSM)
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (gambar ihsan FB DOSM)

 

 

Menurut beliau, perbandingan tahunan untuk tempoh September 2022 dan September 2023 menunjukkan indeks harga seunit simen mencatat peningkatan antara 2.8% dan 26.4% bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kecuali Sibu dan Miri.

 

Mohd Uzir menambah bahawa peningkatan tertinggi indeks harga seunit simen adalah kawasan Kelantan dan Terengganu (26.4%), diikuti kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (23.5%).

 

Sementara itu, indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan antara 0.8% hingga 13.3% bagi September 2023 berbanding bulan sama tahun, namun, terdapat peningkatan di Kota Kinabalu (2.8%), Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (2.1%) serta Sandakan (1.4%).

 

Mohd Uzir turut menyatakan bahawa purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars adalah RM3,586.98 bagi setiap tan metrik dengan penurunan kecil 0.9% berbanding bulan sebelumnya (Ogos 2023: RM3,620.05 per tan metrik).

 

 

infografik dosm

 

 

Manakala, purata harga simen (Ordinary Portland) kekal tidak berubah berbanding bulan sebelumnya dengan purata harga RM22.89 per 50 kg.

 

"Selain daripada itu, indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 0.1% dan 0.5% pada September 2023 berbanding bulan sebelumnya, kecuali Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

 

"Peningkatan tertinggi adalah bagi kategori bangunan (konkrit tetulang) dua hingga empat tingkat (berbumbung rata) di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang," tambahnya.

 

IKB (termasuk bar keluli) di Sabah menunjukkan penurunan di antara 0.2% dan 0.8% bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pada September 2023 berbanding bulan sebelumnya.

 

Perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) di Sarawak pada September 2023 menunjukkan peningkatan indeks di antara 0.1% dan 0.2% bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching dan Miri.

 

Manakala indeks bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu mencatatkan penurunan indeks sebanyak 0.1% kecuali bagi bangunan (konkrit tetulang) satu tingkat dan bangunan kayu. - DagangNews.com