Harga besi meningkat sehingga 2% di Malaysia berikutan kenaikan harga bijih besi dan besi global - DOSM | DagangNews Skip to main content

Harga besi meningkat sehingga 2% di Malaysia berikutan kenaikan harga bijih besi dan besi global - DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Dis - Harga besi meningkat antara 0.1% sehingga 2% bagi kebanyakan kawasan pada November berbanding bulan lepas, berikutan kenaikan harga bijih besi dan besi global, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih menunjukkan peningkatan harga bahan binaan seperti besi, batu baur serta batu bata dan dinding bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

 

Selain daripada itu, harga keratan keluli dan logam kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

 

Mohd Uzir berkata terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.2%), Terengganu dan Kelantan (0.3%) serta Kota Kinabalu (0.3%). 

 

"Perbandingan bulanan pada November 2023 turut mencatatkan harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

 

 

dosm

 

 

"Terdapat sedikit peningkatan dalam harga bahan bagi beberapa kawasan iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.2%) dan Johor (1%). Dalam tempoh yang sama, terdapat sedikit penurunan indeks bagi kawasan Terengganu dan Kelantan (1.6%)," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Menurut beliau, perbandingan tahunan untuk tempoh November 2022 dan November 2023 menunjukkan harga simen meningkat antara 2.8% dan 22.7% bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

 

Jelasnya, peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen telah dicatatkan bagi kawasan Terengganu dan Kelantan (22.7%), diikuti oleh Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (21.1%).

 

Harga besi pula mencatatkan peningkatan antara 0.2% hingga 4.2% bagi November 2023 berbanding bulan sama tahun lalu, namun terdapat penurunan harga bahan berkenaan  di Miri (6.1%), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (4.4%) serta Tawau (3.1%). 

 

 

Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin
Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin 

 

 

Mohd Uzir turut menyatakan bahawa purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars adalah RM3,621.02 bagi setiap tan metrik dengan peningkatan kecil 0.9% berbanding bulan sebelumnya (Oktober 2023: RM3,590.40 per tan metrik). 

 

Manakala, purata harga simen Ordinary Portland pula kekal sebelumnya dengan purata harga RM22.94 setiap 50 kilogram sekarung. 

 

"Selain daripada itu, perbandingan bulanan indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan pada November 2023 mencatat peningkatan antara 0.2% dan 1.2% bagi dua kawasan Semenanjung Malaysia, khususnya di Perak serta Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. 

 

"Namun begitu, terdapat sedikit penurunan bagi IKB (termasuk bar keluli) antara 0.1% dan 0.5% di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan serta Terengganu dan Kelantan," katanya.

 

IKB (termasuk bar keluli) di Sabah pula menunjukkan peningkatan di antara 0.2% dan 0.6% bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu dan Sandakan pada November 2023 berbanding bulan sebelumnya. 

 

Perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) di Sarawak pada November 2023 menunjukkan peningkatan kecil dalam indeks iaitu 0.1% bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu. - DagangNews.com