Hanya 2 hari dagangan minggu lalu, pelabur asing jual RM365.7 juta ekuiti tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hanya 2 hari dagangan minggu lalu, pelabur asing jual RM365.7 juta ekuiti tempatan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Mei - Pelabur asing kembali menjual ekuiti dalam pasaran tempatan yang mencatat aliran keluar sebanyak RM365.7 juta pada minggu lalu.

 

Bagi minggu berakhir 6 Mei 2022 itu, dagangan bursa hanya berlangsung selama 2 hari ekoran cuti Hari Raya Aidilfitri dan cuti ganti Hari Buruh yang jatuh pada Ahad (1 Mei).

 

Laporan aliran dana mingguan MIDF Research menunjukkan dana antarabangsa merupakan pembeli ekuiti selama 14 minggu daripada 18 minggu setakat tahun ini, dengan aliran masuk berjumlah RM6.92 bilion. 

 

"Tetapi, pelabur asing menjadi penjual bersih sekali lagi selepas membeli ekuiti dalam tempoh 2 minggu yang singkat.

 

"Mereka merupakan penjual bersih bagi kedua-dua hari dagangan berkenaan dengan menjual RM143.1 juta pada Khamis diikuti Jumaat, RM222.6 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Firma itu mendapati, pelabur runcit kekal menjadi pembeli bersih ekuiti selama 4 minggu berturut-turut sebanyak RM202.8 juta. 

 

Setakat ini, katanya, pelabur runcit telah membeli ekuiti tempatan sebanyak RM875.5 juta. 

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan menamatkan rentetan jualan bersih mereka selama 12 minggu dengan kedudukan belian bersih sebanyak RM162.9 juta pada minggu lalu.

 

"Pelabur institusi tempatan menjadi penjual bersih selama 15 minggu daripada 18 minggu tahun ini, dengan RM7.8 bilion ekuiti telah dijual," tambahnya.

 

Dari segi penyertaan, nilai purata dagangan harian (ADTV) pelabur asing menyaksikan peningkatan sebanyak 63.18% diikuti pelabur runcit meningkat 4.29%. Sebaliknya, pergerakan pelabur institusi tempatan susut 9.14%. - DagangNews.com