KUALA LUMPUR 17 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited mahu memastikan orang ramai selesa menyambut Syawal dengan menugaskan hampir 9,400 warga kerja di pelbagai peringkat, demi menjamin kestabilan bekalan elektrik di seluruh Semenanjung pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, penugasan giliran dan tunggu sedia itu dilakukan di stesen-stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid serta pencawang, bagi memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik serta siap siaga memberi perkhidmatan pelanggan.
“Walaupun tugasan ini adalah rutin harian warga kerja di bahagian perkhidmatan masing-masing, namun ia adalah satu pengorbanan tatkala orang ramai ceria menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sedangkan mereka bertugas di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, bagi menghargai sumbangan warga kerja terlibat, TNB mengekalkan tradisi menitipkan bingkisan kuih raya sebagai tanda penghargaan.
Persatuan Wanita TNB (Pelitawanis) dari cawangan sekitar Semenanjung Malaysia berganding bahu menyiapkan hampir 9,400 pek bingkisan kuih raya minggu lalu.
Abdul Razak bersama-sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din menyempurnakan Sesi Simbolik Penyerahan Bingkisan Raya TNB 2023 kepada ketua-ketua bahagian TNB di TNB Platinum, Ibu Pejabat TNB, Bangsar, baru-baru ini.
Menurut Baharin, pemantauan di setiap negeri khususnya dalam bidang teknikal ditingkatkan menjelang Syawal dengan jangkaan umat Islam pulang lebih awal ke kampung halaman, selain mereka yang mengambil peluang melancong sempena cuti panjang hujung minggu.

“Bersamalah kita doakan agar mereka yang bertugas ini sentiasa sihat dalam menyempurnakan amanah dengan selamat demi keselesaan semua. Terima kasih kerana sentiasa komited memikul tanggungjawab ini yang juga adalah satu ibadah atas kepentingan umum,” katanya.
Penugasan sebegitu ramai tenaga kerja mengambil kira tempoh kritikal 72 jam (3 hari) bermula sehari sebelum 1 Syawal, berikutan penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat ketika orang ramai rancak membuat persiapan akhir terutama pada malam Aidilfitri.

Sementara itu, Yang Dipertua Pelitawanis TNB, Datin Noor Aizah Abd Karim berkata, kerja-kerja pembungkusan Bingkisan Aidilfitri TNB 2023 itu bermula pada 3 Mac dan selesai pada 9 April serta akan dihantar ke pejabat TNB di seluruh Semenanjung.
"Bingkisan Aidilfitri TNB ini adalah tanda ingatan dan penghargaan TNB kepada pekerja-pekerja yang diberi tanggungjawab untuk bertugas pada hari raya pertama demi memastikan bekalan elektrik kekal berdaya harap dan stabil untuk keselesaan rakyat bagi merayakan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan,” katanya. - DagangNews.com








