Haily Group terima Surat Anugerah bernilai RM109.5 juta bagi projek pembinaan di Johor | DagangNews Skip to main content

Haily Group terima Surat Anugerah bernilai RM109.5 juta bagi projek pembinaan di Johor

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 April - Syarikat pembinaan berpangkalan di Johor, Haily Group Berhad menerima Surat Anugerah (LA) daripada Mandy Corporation Sdn. Bhd bagi kerja-kerja membina rumah teres di Pontian yang bernilai RM109.5 juta.


Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Haily Group berkata, LA itu diterima anak syarikatnya, Haily Construction Sdn Bhd pada 23 April 2024 bagi membina Fasa 4 sebuah projek perumahan yang terletak di Jalan Ulu Choh, Gelang Patah, Mukim Jeram Batu, Pontian untuk Splendid Pavilion Sdn. Bhd.


"Fasa 4 projek tersebut terdiri daripada Fasa 4A (163 buah rumah teres dua tingkat) dan Fasa4B (169 rumah teres dua tingkat) serta sebuah substesen Tenaga Nasional Berhad (TNB).


"Subkontrak tersebut perlu disapkan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 4A (projek bermula 2 Mei 2024) manakala 1 April 2026 bagi Fasa 4B (projek bermula 2 Ogos 2024)," katanya.

 

Kata pemakluman itu, Haily Construction sebagai subkontraktor dikehendaki mencapai markah Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC) sekurang-kurangnya 75 untuk kerja-kerja subkontrak.


"Jika gagal, Kontraktor Utama (Mandy Corporation) berhak untuk mengenakan penalti berikut ke atas subkontraktor," ujarnya.


Menurut Haily, LA tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham yang besar Syarikat kerana tiada terbitan saham biasa baharu dalam Syarikat.


"Lembaga Pengarah menjangkakan LA akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan HAILY sepanjang tempoh Projek, dengan mengandaikan tiada kelewatan ketara dalam masa seperti yang dinyatakan," jelasnya. - DagangNews.com